Krisis politik Sri Lanka meruncing, PM dipecat enggan berundur


Ranil Wickremesinghe menerima notis formal berhubung pemecatannya sebagai perdana menteri Sri Lanka. – Gambar EPA, 27 Oktober, 2018.

PRESIDEN Sri Lanka mengeluarkan notis rasmi pada Sabtu bagi Ranil Wickremesinghe meletak jawatan sebagai perdana menteri dan mengiktiraf pemecatan mengejutnya, dalam krisis perlembagaan.

Beberapa jam selepas memecat bekas rakannya, Presiden Maithripala Sirisena mengeluarkan gazet yang memformalkan langkah dramatik, dan pelantikan orang kuatnya Mahinda Rajapakse sebagai perdana menteri baharu.

Bagaimanapun, Wickremesinghe terus menduduki “Temple Tree”, kediaman rasmi perdana menteri, dan menegaskan dalam surat kepada Sirisena bahawa beliau masih berkuasa.

Beliau mengatakan hanya boleh dipecat oleh Parlimen yang majoriti dimiliki partinya dan berikrar mengambil tindakan undang-undang terhadap apa yang dikatanyanya sebagai langkah tidak berperlembagaan.

“Saya berkata sebagai perdana menteri Sri Lanka,” kata Wickremesinghe kepada pemberita semasa sidang akhbar di televisyen pada malam Jumaat. “Saya tetap sebagai perdana menteri dan saya akan berfungsi sebagai perdana menteri.”

Sejak mengangkat sumpah secara tergesa-gesa, Rajapakse belum mengumumkan pembentukan Kabinet - yang menurut Perlembagaan secara automatik dibubarkan apabila perdana menteri disingkirkan.

Speaker Parlimen Karu Jayasuriya berkata beliau akan memutuskan pada Sabtu sama ada untuk mengiktiraf Rajapakse atau tidak, selepas mendapatkan nasihat perundangan.

Parlimen dijangka bersidang semula 5 November apabila bajet negara 2019 dikemukakan.

Mahkamah Agung, yang diberi kuasa untuk menyelesaikan pertikaian Perlembagaan, ditutup hujung minggu dan dibuka semula pada Isnin.

Bercakap kepada penyokong yang gembira di luar rumahnya di Colombo pada petang Jumaat, Rajapakse juga menggesa Wickremesinghe meletak jawatan.

Anggota partinya mesti “menghormati demokrasi, menghormati negara dan menghormati undang-undang”, kata bekas presiden itu melalui pembesar suara dari balkoni. – AFP, 27 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen