Gaza serang Israel selepas 5 rakyat Palestin terbunuh


Kebakaran di Israel selepas Gaza melancarkan roketnya susulan kematian lima warganya di sempadan. – Gambar AFP, 27 Oktober, 2018.

GAZA membedil Israel lewat semalam, kata pihak tentera sejam selepas lima rakyat Palestin terbunuh semasa pertempuran di sempadan, dalam satu gerakan yang boleh menjejaskan usaha gencatan senjata.

Serangan projektil terbesar dalam beberapa bulan yang berterusan hingga ke hari ini dan kematian di sempadan berlaku walaupun terdapat kemajuan perbincangan ke arah perjanjian damai.

“Sekurang-kurangnya 14 roket dilancarkan dari Gaza kepada orang awam Israel,” kata jurucakap tentera Jonathan Conricus di Twitter.

“Iron Dome setakat ini memintas 10, menyelamatkan banyak nyawa,” katanya.

Pasukan perubatan Israel berkata tujuh orang awam sedang dirawat kerana terkejut.

Sebagai tindak balas terhadap roket itu, jet pejuang Israel dan helikopter “menyerang sasaran pengganas di Semenanjung Gaza”, kata tentera dalam satu kenyataan awal hari ini.

Ketua tentera, Jeneral Gadi Eisenkot, menjalankan “penilaian situasi” di ibu pejabat tentera Tel Aviv bersama pegawai kanan dari agensi keamanan dalaman Shin Bet.

Serangan Israel mengena tiga tapak milik Hamas, pemerintah Islam di Gaza, tanpa laporan sebarang kecederaan.

Terdahulu, lima rakyat Palestin berusia antara 22 hingga 27 tahun meninggal dunia dalam kejadian berasingan di pagar sempadan, kata Kementerian Kesihatan Gaza. – AFP, 27 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen