Suspek penghantar bungkusan bom AS 'pemuja' Trump


Cesar Altieri Sayoc bakal menerima hukuman penjara sekurang-kurangnya 48 tahun kerana tindakannya menghantar bungkusan bom. – Gambar EP, 27 Oktober, 2018.

CESAR Altieri Sayoc, penduduk Florida yang dituduh menghantar bom kepada pengkritik Donald Trump, menampal akaun media sosialnya dan van yang didiaminya dengan simbol pengabdiannya kepada presiden Republik dan kebenciannya kepada Demokrat.

Lelaki berusia 56 tahun dari Aventura, Florida, ditahan semalam kerana mendakwa menghantar sekurang-kurangnya 13 alatan letupan kepada tokoh pemimpin demokratik, bekas pegawai tinggi dan lain-lain, kata Pengarah FBI, Christopher Wray.

Sayoc berdepan sekurang-kurangnya 48 tahun penjara, walaupun tuduhan selanjutnya dijangka difailkan kerana kempen bungkusan bom yang meningkatkan ketegangan politik serta menjadikan negara dalam keadaan bahaya.

Rakaman televisyen Sayoc dalam tahanan menunjukkan seorang lelaki berkemeja hitam tanpa lengan dan berambut pendek.

Sayoc pernah ditangkap beberapa kali sebelum ini, termasuk di Miami-Dade County pada 2002 kerana membuat ancaman bom terhadap syarikat tenaga, menurut rekod mahkamah yang terdapat dalam talian.

Beliau dijatuhi hukuman setahun dan ditangkap kerana mencuri dan keganasan rumah tangga.

Sayoc, yang turut dikenali dengan nama Cesar Altieri, mempunyai sejarah masalah kewangan, dan memfailkan bankrap pada 2012, menurut rekod daerah.

Kecenderungan politiknya dipaparkan sepenuhnya di laman Facebook dan akaun Twitter miliknya, dan van putih dibalut pelekat pro-Trump dan anti-Demokrat.

Gambar di halaman Facebook Sayoc menunjukkan beliau memakai topi merah Trump “Make America Great Again” dan gambarnya menghadiri perhimpunan Trump di Florida.

Salah satu tingkap vannya, yang disita oleh FBI, memaparkan gambar bekas presiden Barack Obama dan calon presiden Demokrat 2016, Hillary Clinton dengan sasaran merah di wajah mereka.

Terdapat juga pelekat “CNN Sucks”, dengan sasaran di atas wajah salah seorang pengulas, Van Jones.

Obama, Clinton dan CNN adalah penerima bom yang dihantar melalui surat dengan alamat pemulangan semula di Florida.

Debra Gureghian, pengurus besar restoran pizza di Fort Lauderdale, tempat Sayoc bekerja sebagai pemandu trak penghantaran selama beberapa bulan, menyifatkannya sebagai “gila” kepada The Washington Post. – AFP, 27 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen