Ketua menteri Sarawak tidak terima peguam dari Semenanjung


Desmond Davidson

KETUA Menteri Sarawak, Abang Johari Openg malam tadi bertegas tidak membenarkan peguam berpangkalan di Semenanjung untuk bekerja di negeri ini.

Beliau berkata sudah tiba masanya untuk Ordinan Peguam Bela Sarawak dipinda, untuk menubuhkan badan berkanun bagi kumpulan itu selepas Persatuan Peguam Bela Sarawak (AAS) berkata Putrajaya cuba memaksa mereka memberikan akses kepada peguam Semenanjung yang ingin membuat amali di negeri ini.

Pengerusi AAS cawangan Kuching, Sarbjit Singh Khaira, dalam ucapan alu-aluannya, berkata cubaan mendaftarkan persatuan itu sebagai badan berkanun dengan Pendaftar Pertubuhan datang dengan syarat - AAS bersetuju untuk menerima pakai dasar terbuka dan membenarkan peguam Semenanjung masuk.

Khaira berkata AAS enggan menyerahkan haknya, dan merayu kepada kerajaan negeri untuk mendapatkan bantuan.

Abang Johari berkata untuk memastikan AAS menjalankan tugas berkanun dengan berkesan dan benar-benar bebas seperti Majlis Peguam, ordinan itu perlu dipinda.

Hak eksklusif peguam Sarawak untuk bekerja di negeri ini diperuntukkan dalam Ordinan Peguambela Sarawak, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan 1962, dan Perkara 161 (B) Perlembagaan persekutuan.

“Ini adalah hak anda,” kata ketua menteri itu kepada peguam negeri.

“Ini adalah sejajar dengan pendirian kerajaan negeri untuk menegakkan hak penduduk Sarawak, seperti diperuntukkan di dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan, Perjanjian Malaysia 1963 dan perlindungan Perlembagaan dalam Perlembagaan persekutuan.” – 27 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen