KERAJAAN Turki pada Jumaat mengatakan ia mahu 18 warga Arab Saudi diekstradisi berhubung pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi, ketika Presiden Recep Tayyip Erdogan berkata Ankara masih mempunyai lebih banyak bukti untuk mendedahkan kes itu.
Pengumuman itu berlaku sehari selepas pendakwa Arab Saudi mengatakan, berdasarkan bukti diberi Turki, pembunuhan itu adalah dirancang - kali pertama pihak berkuasa Arab Saudi membuat pengakuan sedemikian.
Dalam ucapan di Ankara, Erdogan berkata ketua pendakwa raya Arab Saudi akan melawat Istanbul pada Ahad untuk berbincang dengan pihak berkuasa Turki sebagai sebahagian daripada siasatan.
Pihak berkuasa Arab Saudi sebelum ini menahan 18 lelaki yang dikehendaki oleh Ankara berikutan kecaman antarabangsa terhadap kematian Khashoggi, penulis kolum Washington Post dan pengkritik dasar Arab Saudi, yang terbunuh di dalam konsulat negara itu di Istanbul pada 2 Oktober.
Pembunuhan itu mencemarkan imej Putera Mahkota Mohammed bin Salman, yang meletakkan dirinya sebagai tokoh pembaharuan Arab Saudi, dan menjadi ujian hubungan antara Washington dan Riyadh ketika kuasa Barat itu menuntut jawapan berhubung kematian Khashoggi.
Permohonan bertulis untuk ekstradisi 18 suspek disediakan oleh ketua pendakwa raya Istanbul.
“Sudah jelas sistem kehakiman di Turki lebih baik dilengkapi untuk menangani keadilan dalam kes ini,” kata seorang pegawai kanan Turki.
Erdogan pada Jumaat menyeru Riyadh untuk mendedahkan siapa yang mengarahkan pembunuhan dan lokasi mayat Khashoggi.
“Anda perlu tunjukkan mayatnya,” kata Erdogan.
Presiden Turki, yang berhenti secara langsung menyalahkan kerajaan Arab Saudi berkata, 18 suspek itu mesti tahu siapa yang membunuh Khashoggi dan mengulangi gesaannya agar beliau diadili di Turki.
“Dalangnya adalah di antara mereka. Jika tidak, siapakah yang menjadi konspirator tempatan? Anda perlu memberitahunya,” katanya.
“Kecuali anda memberitahu, Arab Saudi tidak akan terlepas daripada kecurigaan ini.” – AFP, 27 Oktober, 2018.
Komen