Bukan Jho Low sahaja perlu disiasat, kata Najib


Wawancara khas bekas perdana menteri Najib Razak bersama wartawan Al Jazeera Mary Ann Jolley yang berlangsung hari ini. – Gambar Al Jazeera, 26 Oktober, 2018.

BEKAS perdana menteri Najib Razak meminta pihak berkuasa menyiasat beberapa lagi individu asing yang dipercayai terlibat skandal penyelewengan dana 1MDB dan tidak hanya tertumpu kepada Jho Low.

Dalam wawancara eksklusif bersama Al Jazeera hari ini, beliau berkata individu terbabit perlu disiasat bagi mengetahui ke mana wang tersebut hilang.

“Baik…biarkan mereka menjalankan tugas tetapi jangan terhenti setakat Jho Low. Siasat juga individu lain kerana mungkin terdapat mereka yang terlibat. Mereka juga perlu disiasat.

“Kita mahu mengetahui ke mana aliran duit itu. Dan siapa yang meraih untung daripada isu 1MDB ini. Saya juga ingin tahu,” katanya kepada wartawan Al Jazeera Mary Ann Jolley.

Najib berkata demikian bagi menjawab soalan Mary Ann mengenai enam siasatan yang dijalankan di seluruh dunia berhubung skandal rasuah 1MDB.

Najib turut mengesahkan beliau tidak mengetahui sumber dana RM2.6 bilion atau siapa yang menyumbangnya kerana beranggapan derma itu ada kaitan dengan Arab Saudi selepas Raja Abdullah bin Abdulaziz Al Saud memberi jaminan untuk menyokongnya.

“Persoalannya adalah, apabila saya menerima derma itu, adakah saya sedar sumber wang tersebut atau sama ada sumber wang itu menjadi pertikaian. Ternyata pada kedudukan saya (ketika itu), saya tidak mempunyai akses terhadap maklumat pihak bank.

“Kerana siapa saja pemilik derma itu, mereka dilindungi oleh undang-undang perbankan dan apabila saya menerimanya, secara jujurnya saya berfikir ia merupakan derma daripada Raja Abdullah berdasarkan perbualan kami sebelum itu.

Apabila Mary Ann membangkitkan persoalan bahawa beliau mempunyai kuasa sebagai perdana menteri ketika itu, Najib berkata beliau tidak mampu memberi penjelasan memandangkan beliau tidak mempunyai pengetahuan pada masa itu.

“Ya tetapi perdana menteri tidak mempunyai akses untuk mendapatkan maklumat bank,” katanya. – 26 Oktober, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Duit masuk Akaun sendiri tak tahu siapa masukkan! Mustahil Abg hoi! Tak tahu sumber duit takkan nak belanja! bekas Pm mesti tanggung jawab duit itu

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Khirtikan Khirtikan · Ulasan