Perancis larang penggunaan racun serangga popular


Produk racun serangga popular itu yang banyak digunakan di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah, dianggap tidak sesuai untuk digunakan pada tanaman oleh Agensi Perlindungan Alam Sekitar AS. – Gambar fail AFP, 26 Oktober, 2018.

KERAJAAN Perancis hari ini mengarahkan larangan selama tiga bulan terhadap penggunaan racun serangga yang mengandungi metam sodium di negara itu selepas puluhan orang, kebanyakannya pekerja ladang di barat Perancis, jatuh sakit baru-baru ini.

Keputusan itu dibuat selepas bahan metam sodium yang digunakan menyebabkan mangsa mengalami sakit mata dan kesukaran untuk bernafas.

Kebanyakan mangsa merupakan pekerja di ladang sayuran di Angers, lokasi yang banyak menghasilkan salad hijau.

Penggunaan racun serangga itu adalah bertujuan melindungi tanaman daripada serangan serangga.

Namun produk tersebut yang banyak digunakan di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah, dianggap tidak sesuai untuk digunakan pada tanaman oleh Agensi Perlindungan Alam Sekitar AS.

Terdapat sekurang-kurangnya 61 kes dilaporkan sejak 28 September lalu, dipercayai ada kaitan dengan penggunaan racun serangga itu.

Daripada 61 kes yang dilaporkan, 17 daripadanya terpaksa mendapatkan rawatan di hospital.

Larangan penggunaan bahan itu dibuat bagi memastikan tahap keselamatan pekerja ladang dan rakyat Perancis terjamin, kata kerajaan. – AFP, 26 Oktober, 2018.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen