Guan Eng tak jujur berjanji pulangkan wang Borneo, kata menteri Sarawak


Desmond Davidson

Menteri Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah menyifatkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng tidak jujur dalam janjinya membantu mengembalikan hak Sabah dan Sarawak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Oktober, 2018.

MENTERI Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah berkata Menteri Kewangan Lim Guan Eng tidak jujur dalam pandangannya tentang Sabah dan Sarawak.

“Sebelum pilihan raya lepas, dia akan keluarkan kenyataan seperti ‘kita juga perlu jaga Sabah dan Sarawak’ dan ‘sebelum kita bertindak dalam apa-apa hal, kita perlu jaga Sabah dan Sarawak’.

“Dia nampaknya sangat peduli tentang pengabaian Sabah dan Sarawak yang terpaksa dilalui (di bawah pentadbiran pentadbiran terdahulu).

“Tetapi selepas dilantik jadi menteri kewangan, nampaknya yang keluar daripadanya sekarang berbeza,” kata Karim ketika diminta mengulas kenyataan Lim pada Rabu yang kerajaan persekutuan hanya akan berkongsi perolehan sumber dengan Sabah dan Sarawak selepas kedudukan kewangan negara bertambah baik.

Karim mempersoalkan mengapa pendirian Lim berubah sedangkan menteri persekutuan itu mengetahui pendapatan sumber minyak dan gas kerajaan berasal dari Sabah dan Sarawak.

“Itu adalah pembekal utama ekonomi negara.”

Karim berkata kenyataan seperti “apabila semuanya sudah baik barulah kami akan penuhi keperluan anda” adalah alasan yang tidak boleh diterima.

Katanya, kenyataan Lim bukan sahaja tidak dapat diterima tetapi juga mengelirukan.

“Bila agaknya kedudukan kewangan negara bertambah baik? Dalam setahun, dua tahun?

“Bila tak mahu berkongsi, ada sahaja alasannya,” katanya kepada wartawan yang menemaninya melawat tarikan terbaru Kuching, muzium warisan dan budaya negeri yang bernilai RM308 juta yang hampir siap.

Katanya, jika Putrajaya benar-benar jujur mahu menyerahkan hak kewangan negeri Borneo yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963, “mereka boleh lakukan sekarang”.

“Mereka sentiasa boleh beri peruntukan sekarang. Mereka tahu berapa banyak duit datangnya dari Sabah dan Sarawak.

“Jangan asyik ulang kerajaan ada masalah kewangan kerana kerajaan lama atau mereka perlu pulih dahulu sebelum tolong kewangan kita.

“Itu masalah mereka di Malaya. Kami tak peduli.” – 26 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen