100 penerbangan di Belgium batal gara-gara mogok


Ribuan penumpang terjejas selepas pekerja pengendali muatan dan beg melancarkan mogok di lapangan terbang Brussels. – Gambar fail AFP, 26 Oktober, 2018.

KIRA-KIRA 100 penerbangan di Belgium terpaksa dibatalkan ekoran mogok yang dilancarkan oleh pekerja pengendali beg dan muatan, sekali gus menyebabkan ribuan penumpang terjejas.

Seramai 300 penumpang terpaksa bermalam di lapangan terbang Brussels-Zaventem selepas pekerja dari syarikat Aviapartner melancarkan mogok itu, kata jurucakap lapangan terbang itu, Nathalie Pierard.

Pierard berkata sebanyak 100 penerbangan keluar dan masuk dibatalkan terutamanya dari syarikat Ryanair selepas media tempatan melaporkan mogok itu dilancarkan bagi menuntut kenaikan gaji.

“Hari Jumaat merupakan hari paling sibuk terutamanya pada musim cuti sekolah. Kira-kira 47,000 penumpang dijadualkan menaiki penerbangan pada hari ini,“katanya.

Mogok itu dilancarkan ketika hujung musim cuti sekolah di negara jiran, Belanda dan permulaan cuti di Belgium.

Satu pertemuan antara wakil persatuan pekerja dan Aviapartner telah diatur bagi menyelesaikan kemelut itu.

Lapangan terbang Brussels merupakan yang terbesar di Belgium dengan anggaran hampir 25 juta penumpang menggunakan perkhidmatan udara itu pada tahun lalu. – AFP, 26 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen