DUA negara Korea hari ini bersetuju untuk menutup 11 pos kawalan di kawasan sempadan pada bulan depan dengan objektif menutup semua pos kawalan pada masa depan.
Persetujuan itu dicapai antara jeneral Korea Selatan dan Korea Utara selepas hubungan diplomatik kedua-dua negara semakin pulih.
Presiden Korea Selatan Moon Jae-in dan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un sebelum ini bersetuju untuk meredakan ketegangan di sempadan kedua-dua negara selepas mereka bertemu di Pyongyang pada bulan lalu.
Dalam pertemuan hari ini di kampung Panmunjom, kedua-dua pihak bersetuju mengundurkan semua tentera di 11 pos kawalan di sepanjang sempadan dan memusnahkan ia sebelum hujung November.
Panmunjom merupakan satu-satunya lokasi di sepanjang sempadan sejauh 250 kilometer yang menyaksikan tentera kedua-dua negara berkawal secara bersemuka.
Secara teknikalnya, kedua-dua negara masih berperang selepas Perang Korea 1950-53 yang berakhir dengan perjanjian gencatan senjata, bukannya perjanjian damai.
Namun hubungan kedua-dua negara semakin pulih tahun ini apabila Moon dan Kim mengadakan siri rundingan bagi menamatkan konflik.
Kedua-dua negara itu sebelum ini juga bersetuju mengeluarkan periuk api di kawasan sempadan Panmunjom. – AFP, 26 Oktober, 2018.
Komen