.jpg)
RUMAH tangga Umno sedang diuji dengan perbezaan pandangan susulan daripada pendirian sayap Pemuda berhubung kedudukan presiden parti yang kini berhadapan dengan beberapa dakwaan di mahkamah.
Pemuda Umno perlu cermat dalam menetapkan pendirian sama ada (i) perlu berada dalam posisi menyokong individu presiden, atau (ii) mempertahankan kredibiliti institusi presiden.
Presiden melalui masa beberapa minggu untuk memberi penjelasan secara tertutup kepada pimpinan tertinggi keempat-empat peringkat berhubung tuduhan dan dakwaan terhadap beliau.
Penerangan dan sesi soal jawab tersebut adalah penting sebagai maklumat asas yang akan membolehkan pimpinan parti menyokong individu presiden serta mempertahankan institusi presiden dengan sepenuh keyakinan.
Namun begitu, ia tidak berlaku selain daripada sedikit penjelasan terbuka di media massa bahawa dana ratusan juta disalurkan kepada tahfiz, surau dan perkara-perkara baik yang lain.
Tidak pula diperjelaskan kepada pimpinan tentang bila dan dimana sumbangan itu dibuat kerana sebagai contoh, ahli-ahli di negeri Perlis tidak pernah dengar ada sumbangan sedemikian rupa untuk puluhan tahfiz, ratusan masjid dan ribuan surau di negeri ini.
Maka, penerangan sehala sedemikian tampak tidak meyakinkan.
Hal yang demikian sekaligus meletakkan institusi Pemuda dalam posisi yang perlu membezakan antara individu dan institusi agar tidak ada lagi momokan sokongan yang membuta-tuli sehingga akhirnya Umno dihukum sekali lagi oleh rakyat terbanyak.
Oleh demikian, adalah tidak adil dan tidak munasabah untuk menetapkan skrip bahawa setiap pimpinan dan ahli-ahli perlu menyokong secara membuta-tuli tanpa terlebih dahulu mendengar penjelasan yang meyakinkan.
Lucius Seneca berpujangga, “if you would judge, understand”.
Susulan pendirian Pemuda Umno yang mencadangkan presiden supaya bercuti, timbul polemik bahawa siapa sahaja yang memegang jawatan tertinggi dalam Umno akan didakwa dengan pelbagai fitnah dan rekaan kesalahan yang bersifat penganiayaan politik.
Kalau itu berlaku dan kalau itu cara permainan politik kotor Pakatan Harapan, ia tentu lebih baik untuk Umno kerana di akhir nanti kesemua pemimpin yang didakwa itu akan didapati tidak bersalah dan segala pendakwaan itu dapat dibuktikan sebagai fitnah.
Pada masa itu, rakyat akan menjadi hakim di peti undi dan pemimpin-pemimpin yang bercuti tentu sekali dinobat sebagai pejuang yang sejati diatas kesanggupan mengharungi serangan politik bobrok Pakatan Harapan (PH).
Persoalan tentang “innocent until proven guilty” juga dibangkitkan sekitar perbahasan tentang isu ini. Akan tetapi, bercuti bukanlah bermaksud “guilty”.
Saranan bercuti adalah selari dengan keputusan Majlis Tertinggi Umno pada 29 Mei 2009 dan beberapa peristiwa lain sebelum itu. Adakah ketika itu pemimpin yang diminta bercuti dianggap telah bersalah?
Apabila dilihat dalam kerangka parti, saranan bercuti perlu dilihat sebagai usaha mengasingkan parti daripada menerima tempias negatif sekiranya seseorang pemimpin didapati bersalah oleh mahkamah.
Jika didapati tidak bersalah, jawatan asal akan dikembalikan.
Di sebalik pelbagai hujjah dan pertimbangan, wujud kekhuatiran tentang imej parti akan dipermainkan semata-mata pimpinan dibawah hendak mempertahankan individu pemimpin secara sembrono. Umno perlu berhati-hati dengan kelicikan perangkap politik.
Jika pimpinan dan ahli-ahli berteriak menyokong sembrono bahawa pendakwaan ini adalah agenda jahat PH, tiba-tiba mereka keluarkan pula bukti-bukti dakwaan sejumlah kekayaan yang luar biasa atas nama peribadi mana-mana pemimpin atau ahli keluarga mereka (sebagaimana cakap-cakap yang mula dimainkan dalam beberapa blog), apa pula yang hendak dijawab nanti?
Buruklah imej parti dimata khalayak kerana totok menyokong individu pemimpin dengan membuta-tuli.
Sehubungan itu, sayap Pemuda perlu berada dalam posisi yang cukup profesional untuk membela yang hak dan menentang yang batil demi memelihara imej Umno agar kembali diterima rakyat. – 26 Oktober, 2018.
* Syed Atif Syed Abu Bakar adalah ketua Pemuda Umno Bahagian Arau.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen