India geledah pejabat Amnesty


Amnesty International India disyaki menyalurkan 360 juta rupees (AS$4.8 juta) ke dalam negara tanpa saluran sah dan melanggar peraturan. Mereka menyifatkan tindakan kerajaan cubaan menakut-nakutkan kumpulan masyarakat sivil. – Gambar AFP, 26 Oktober, 2018.

AMNESTY International hari ini menuduh kerajaan India cuba “mencetuskan ketakutan” ke atas pejuang hak asasi selepas polis menyerbu salah sebuah pejabatnya atas dakwaan pelanggaran peraturan pembiayaan asing.

Penyiasat Jabatan Penguatkuasaan menggeledah pejabat Amnesty di Bangalore selama beberapa jam semalam. Serbuan sama turut dilakukan ke atas kumpulan pendesak alam sekitar, Greenpeace.

Jabatan itu yang menyiasat jenayah kewangan berkata organisasi antarabangsa hak asasi itu disyaki menyalurkan 360 juta rupees (AS$4.8 juta) ke dalam negara tanpa saluran sah dan melanggar peraturan.

Pegawai jabatan mengesahkan serbuan itu dan berkata Amnesty melanggar peraturan dengan “mengapungkan entiti komersial” dengan membawa masuk wang dari luar.

Amnesty bertegas yang mereka “mematuhi” semua peraturan kerajaan dalam satu kenyataan dikeluarkan menerusi Twitter, mengecam apa yang disifatkannya tekanan pihak berkuasa.

“Sangat jelas yang kerajaan mahu mencetuskan ketakutan dalam kalangan organisasi masyarakat sivil,” kata Amnesty yang berpangkalan di London.

Jurucakap Amnesty India Smriti Singh memberitahu AFP yang kumpulan itu masih belum dapat menentukan sama ada rampasan berlaku kerana masih menyiasat serbuan itu.

Amnesty adalah pengkritik lantang kerajaan haluan kanan India kerana layanan dan pencabulan hak asasi di kawasan berkonflik di Kashmir dan militan Maoist di tengah India.

Pada 11 Oktober lalu, agensi sama menyerbu pejabat Greepeace India di Bangalore. Pihak berkuasa juga membekukan akaun Greenpeace pada 2015.

Kerajaan Perdana Menteri Narendra Modi melancarkan serbuan ke atas badan bukan kerajaan selepas berkuasa pada 2014.

Hampir 100,000 NGO digantung atau diharamkan, kebanyakannya yang bekerja dalam bidang kesihatan dan alam sekitar, kerana menerima pembiyaan asing dan dituduh menggunakan dana itu untuk “aktivit anti negara.”

Laporan perisikan kerajaan pada 2014 melaporkan kumpulan NGO bekerjasama dengan kuasa asing untuk menyekat pertumbuhan ekonomi India.

Modi turut mengecam organisasi yang dibiayai pihak luar, menyifatkan mereka “aktivis lima bintang”. – AFP, 26 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen