Anak Khashoggi tiba di AS


Orang ramai memasang lilin di depan poster wartawan Jamal Khashoggi yang mati dibunuh, di konsulat Arab Saudi di Turki. – Gambar AFP, 26 Oktober, 2018.

ANAK wartawan Jamal Khashoggi yang dibunuh di Turki, kini dilaporkan berada di Amerika Syarikat (AS), memetik media AS.

Salah, anak lelaki Khashoggi tiba di AS selepas pihak berkuasa Arab Saudi menarik balik larangan perjalanan yang dikenakan ke atasnya, menurut CNN.

Jurucakap Jabatan Negara AS mengatakan, Setiausaha Negara Mike Pompeo telah menggesa kerajaan Arab Saudi menarik balik sekatan itu semasa lawatan beliau ke Riyadh minggu lepas, lapor Xinhua. 

Pada Khamis, jurucakap Rumah Putih Sarah Sanders berkata, Presiden Donald Trump juga telah diberikan taklimat oleh pengarah CIA, Gina Haspel berhubung kes tersebut. 

Pada 2 Oktober lepas, penulis ruangan Wahington Post itu dilaporkan hilang selepas mengunjungi konsulat Arab Saudi di Istanbul. 

Selepas dua minggu, Riyadh mendedahkan wartawan itu terbunuh dalam pergaduhan dengan beberapa individu di konsulat, tanpa memberikan penjelasan lanjut mengenai punca kematiannya.

Putera Mahkota Arab Saudi dalam kenyataan pertama secara terbuka berhubung kes itu mengatakan, mereka yang bertanggungjawab akan dihadapkan ke muka pengadilan. 

Setakat ini, 18 rakyat Arab Saudi telah ditahan bagi membantu siasatan. – Bernama, 26 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen