PASTOR warga Kanada yang dipenjarakan di Korea Utara selama lebih dua tahun pulang ke rumahnya Sabtu selepas dibebaskan, kata para pegawai.
Hyeon Soo Lim, 62, ditangkap pada Januari 2015 atas tuduhan terlibat aktiviti subversif terhadap rejim Korea Utara, tuduhan yang dinafikan Ottawa.
Walaupun dihukum melakukan kerja buruh seumur hidup, beliau diberikan “jaminan sakit” selepas lawatan jurucakap perdana menteri Kanada, Justin Trudeau dan penasihat keselamatan negara Daniel Jean ke Pyongyang
“Hari ini, kami menyertai keluarga dan pengikut Pastor Lim meraikan kepulangannya ke Kanada yang sekian lama ditunggu,” kata kementerian luar negara itu dalam satu kenyataan akhbar.
“Kanada terlibat secara aktif dalam kes Lim di semua peringkat, dan kami akan terus menyokong beliau dan keluarga dengan kepulangannya,” tambahnya.
Menurut laporan media tempatan, Lim diterbangkan ke pangkalan tentera di Trenton, kira-kira 170 kilometer (100 batu) di sebelah timur Toronto.
Pembebasannya itu datang pada saat ketegangan yang semakin memuncak antara Korea Utara dan Amerika Syarikat. Tiga rakyat AS kekal dalam tahanan rejim Kim Jong-Un.
Pyongyang mengancam melancarkan peluru berpandu ke pulau Guam, pangkalan strategik AS di Pasifik kira-kira 3,300 kilometer (2000 batu) dari Korea Utara. – AFP, 13 Ogos, 2017.
Komen