FILIPINA membuka semula pulau Boracay hari ini tetapi dengan syarat yang diperketat bagi memastikan pulau percutian terkenal itu tidak lagi tercemar akibat pelancongan berlebihan.
Pulau yang putih pasir pantainya itu ditutup sejak April selepas Presiden Rodrigo Duterte mengarahkannya susulan ia terlalu kotor akibat saluran kumbahan dari hotel dan restoran terus ke dalam laut.
Peraturan baharu akan diperkenalkan kepada resort dengan mengetatkan aktiviti minum arak dan merokok di pantai, mengehadkan jumlah pelancong dan hotel.
Antara pengunjung yang datang ke pantai itu hari ini adalah pelancong kali pertama yang tertarik dengan prospek bahawa pulau itu bersih dan kurang sesak.
Satu ketika dulu, pulau itu pada mulanya menjadi kegemaran pelancong kembara, sebelum pulau kecil itu berubah dengan pembangunan berlebihan dan dikunjungi kira-kira dua juta orang setahun.
Di bawah rejim kerajaan baharu, tiada lagi tukang urut, peniaga, unggun api dan istana pasir tempat popular untuk bergambar, di tepi pantai.
Bangunan dirobohkan dan peniaga diarahkan tidak melanggar zon sekatan 30meter dari pantai.
Pembinaan kelihatan di sana sini dengan kerja membaiki jalan sementara hotel dan resort sedang diubahsuai.
Semua aktiviti air kecuali berenang diharamkan buat masa ini, sementara tiga kasino di Boracay sudah ditutup atas arahan Duterte.
Boracay yang menerima penarafan pantai terbaik dunia oleh majalah pelancongan, berkeluasan 1,000 hektar.
Tetapi ia dikunjungi 40,000 orang pada waktu puncak dengan pelancong membelanjakan AS$1 bilion setahun, dengan meninggalkan segunung sampah dan sistem pembetungan yang melimpah. – AFP, 26 Oktober, 2018.
Komen