ARAB Saudi berkata pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi kelihatan seperti sudah dirancang, berdasarkan kepada maklumat diterima dari Turki, menarik balik dakwaan awal bahawa mangsa terbunuh dalam pergaduhan.
Ia perkembangan terkini berkenaan pembunuhan pada 2 Oktober di konsulat Arab Saudi di Istanbul.
Arab Saudi cuba untuk menunjukkan ia tidak terlibat dalam insiden itu, dan kumpulan hak asasi manusia hari ini berkata anak lelaki Khashoggi, Salah dan keluarganya keluar dari negara itu selepas larangan perjalanan terhadapnya dibatalkan.
Tetapi Arab Saudi masih berdepan tekanan daripada kuasa dunia yang skeptikal dan mendesak jawapan di mana mayat Khashoggi.
Pendakwa raya Arab Saudi berkata pihaknya sedang membuat penilaian terkini berdasarkan kepada bukti dibekalkan oleh Turki.
Selepas pada awalnya bertegas mengatakan Khashoggi keluar dari konsulat dengan selamat, pihak berkuasa Arab Saudi kemudian berkata mangsa terbunuh dalam satu pergaduhan sebelum akhirnya menerima apa yang Turki katakan sejak mula – iaitu mangsa dibunuh dalam pembunuhan terancang. – AFP, 26 Oktober, 2018.
Komen