19 mayat ditemui dalam kubur tak bertanda di Mexico


Kubur besar sering ditemui di Mexico, mengandungi berpuluh atau malah beratus mayat yang tidak dikenal pasti. – Gambar AFP, 26 Oktober, 2018.

SEKURANG-KURANGNYA 19 mayat ditemui di sebuah padang di bandar Jalisco, barat Mexico, di mana ia dianggap sebagai keganasan paling teruk di negara itu, kata pendakwa raya.

Semua mayat itu dikenal pasti sebagai 16 lelaki dan tiga wanita, dipercayai dibunuh kira-kira empat bulan lalu, kata pihak berkuasa.

Dua tengkorak turut ditemui tetapi tidak dapat dipastikan adakah ia bermakna terdapat dua lagi mangsa, atau ia milik seseorang yang sudah lama mati.

Jumlah mangsa bunuh di Mexico melonjak sejak beberapa tahun terakhir ini dalam keganasan yang dikaitkan dengan kartel dadah paling berkuasa di negara itu.

Mayat pertama ditemui di Lagos de Moreno pada Isnin, berhampiran sempadan Guanajuato.

Penyiasat kemudian melakukan pencarian di kawasan itu sebelum menemui mayat yang lain pada Selasa dan Rabu.

Pihak berkuasa berkata tidak dapat dipastikan sama ada semua mangsa penduduk tempatan.

Hanya seminggu lalu, 16 mayat ditemui dalam satu kubur tidak bertanda di luar Guadalajara, ibu negeri Jalisco yang juga bandar kedua paling ramai penduduk di Mexico.

Sejak kerajaan mengerahkan tentera untuk melawan kartel dadah pada 2006, Mexico dilanda gelombang keganasan dengan lebih 200,000 pembunuhan.

Tahun lalu, negara itu merekodkan 28,702 kes bunuh.

Kubur besar sering ditemui mengandungi berpuluh atau malah beratus mayat yang tidak dikenal pasti. Hampir 4,000 mayat seumpama itu ditemui sejak 2007, menurut Suruhanjaya Hak Asasi Manusia. – AFP, 26 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen