Pelakon, bekas naib presiden AS jadi mangsa terbaharu terima bungkusan misteri


Robert De Niro menjadi mangsa terbaharu menerima bungkusan misteri yang dipercayai bom paip. – Gambar fail AFP, 25 Oktober, 2018.

PELAKON terkemuka Robert De Niro dan bekas naib presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden menjadi mangsa terbaharu menerima bungkusan misteri yang disyaki bom paip selepas kes yang sama berlaku kepada beberapa pemimpin Demokratik sepanjang minggu ini, kata polis New York.

Seorang staf syarikat filem dan televisyen TriBeCa Productions yang diasaskan oleh Robert, memaklumkan polis selepas menerima bungkusan mencurigakan itu kira-kira pukul 5 pagi waktu tempatan.

Polis kemudiannya mengerahkan skuad pemusnah bom untuk menganalisis bungkusan tersebut.

Bungkusan itu sama seperti yang diterima oleh Barack Obama, Hillary Clinton dan beberapa pemimpin Demokratik serta CNN yang kesemuanya lantang mengkritik Presiden Donald Trump.

Pada Jun lalu, pelakon berusia 75 tahun itu menerima tepukan gemuruh pada majlis anugerah Tony Award di New York kerana mengecam Trump di hadapan penonton.

Ketika Trump berkempen untuk menjadi presiden pada 2016, Robert secara terbuka meyelar wakil Republikan itu sebagai seorang yang bodoh.

Sementara itu, Trump dalam reaksinya menuduh media sengaja memburukkan keadaan ketika Amerika Syarikat berdepan ancaman bungkusan bom. – AFP, 25 Oktober, 2018.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen