KERAJAAN Arab Saudi berkata pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi di Istanbul telah ‘dirancang’ berdasarkan maklumat yang diberikan oleh Turki, lapor media negara itu.
“Maklumat pihak berkuasa Turki menunjukkan tindakan suspek dalam kes pembunuhan Khashoggi adalah dirancang,” kata pendakwa raya awam Arab Saudi seperti dilaporkan Saudi Press Agency.
“Pihak pendakwa raya meneruskan siasatan terhadap suspek bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan.”
Arab Saudi pada awalnya mendakwa tidak menahan Khashoggi selepas mangsa berkunjung ke konsulat di Istanbul pada 2 Oktober lalu untuk melengkapkan dokumen perkahwinannya dengan tunangnya dari Turki.
Namun akibat desakan antarabangsa, Riyadh akhirnya mengakui pada Sabtu lalu bahawa penulis bebas untuk Washington Post itu terbunuh di dalam konsulat tersebut selepas terlibat dalam pergaduhan.
Bagaimanapun difahamkan Khashoggi telah dibunuh dalam kejadian itu seperti dilaporkan kerajaan Turki.
Kerajaan Arab Saudi memecat dua pembantu Putera Raja Mohammed bin Salman dan tiga pegawai perisikan serta menahan 18 suspek yang merupakan rakyat tempatan.
Pada Khamis, Putera Mohammed mempengerusikan mesyuarat untuk merombak agensi perisikan negara itu susulan kes kematian Khashoggi. – AFP, 25 Oktober, 2018.
Komen