Imran Khan lawat China minggu depan, minta bantuan kewangan


Perdana Menteri Pakistan Imran Khan kini sedang berusaha mendapatkan bantuan kewangan daripada beberapa buah negara sekutu bagi mengatasi krisis aliran tunai negara itu yang disebabkan korupsi pentadbiran terdahulu. – Gambar EPA, 25 Oktober, 2018.

PERDANA Menteri Pakistan Imran Khan akan melawat China minggu depan, kata pihak berkuasa hari ini, ketika bekas bintang kriket itu kini sedang bergelut mencari pembiayaan untuk menampung kewangan negaranya yang berdepan masalah.

Pengesahan lawatan Khan ke China itu dibuat beberapa hari selepas Pakistan berjaya mendapatkan AS$6 juta pembiayaan dari Arab Saudi untuk membantu menyeimbangkan krisis pembayaran negara itu.

Khan pada ucapan televisyen pada Rabu berkata beliau berusaha keras mendapatkan pembiayaan Arab Saudi dan dua lagi negara untuk mengurangkan pinjaman daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Kementerian Luar berkata Khan akan bertemu Presiden China Xi Jinping dan Perdana Menteri Li Keqiang pada lawatan 2-5 November ke Beijing dan Shanghai.

“Lawatan itu akan menyediakan peluang kepada kedua-dua negara untuk menyemak semula keseluruhan hubungan dua hala dengan tumpuan khas kepada CPEC,” kata jurucakap kementerian Muhammad Faisal kepada AFP, merujuk kepada Koridor Ekonomi China-Pakistan.

CPEC adalah projek infrastruktur berbilion dolar bermatlamat membina projek tenaga dan pengangkutan menghubungkan barat China, Xinjiang dengan Laut Arab melalui Pakistan.

Bagaimanapun, kewangan Pakistan yang semakin buruk sejak beberapa bulan lepas menimbulkan kebimbangan yang perjanjian itu mungkin akan dikecilkan skopnya.

Penganalisis berpendapat yang Khan akan meminta bantuan kewangan dari Beijing pada lawatan itu.

Sejak berkuasa Ogos lalu, Khan cuba meminta pinjaman daripada beberapa buah negara sekutu rapatnya, termasuk Arab Saudi dan berikrar mendapatkan semula dana negara yang dirompak pegawai korup serta memulakan beberapa langkah penjimatan untuk meningkatkan aliran tunai negara itu.

Pakistan sudah banyak kali meminta bantuan IMF sejak 1980-an.

Kali terakhir adalah pada 2013 apabila Islamabad meminjam AS$6.6 bilion untuk mengatasi krisis serupa. – AFP, 25 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen