2 kanak-kanak diberi status warganegara, 3 lagi dalam pertimbangan


DUA daripada lima kes kanak-kanak tanpa kerakyatan di Mahkamah Persekutuan selesai hari ini setelah Kementerian Dalam Negeri meluluskan pendaftaran dua kanak-kanak sebagai warganegara Malaysia.

Dua kes itu melibatkan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun, yang permohonan kerakyatan mereka diluluskan mengikut Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan. 

Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan mempertimbangkan permohonan kerakyatan tiga kes selebihnya setelah seorang daripada pemohon mengemukakan butiran lanjut seperti yang diminta, manakala dua pemohon lagi akan memfailkan permohonan bagi mendapatkan taraf warganegara mengikut Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 15A memperuntukkan kuasa khas kepada pentadbir persekutuan untuk mendaftarkan seseorang yang berusia bawah 21 tahun sebagai seorang warganegara.

Ketua Hakim Negara Richard Malanjum, yang mempengerusikan panel sembilan hakim, menetapkan 26 November ini untuk mendengar rayuan berhubung tiga kes itu sekiranya pemohon gagal mendapat taraf kerakyatan.

Peguam Latheefa Koya, yang mewakili keluarga remaja lelaki berusia 18 tahun itu memberitahu panel hakim beliau menerima sepucuk surat tentang pemberian taraf warganegara kepada remaja berkenaan pagi ini dan oleh demikian, beliau menarik balik rayuan.

Berhubung budak perempuan berusia 13 tahun yang menang kesnya di Mahkamah Rayuan, Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan, yang mewakili Kementerian Dalam Negeri, ketua pengarah JPN dan Kerajaan Malaysia, memberitahu mahkamah hari ini bahawa beliau menarik balik rayuan kerana perkara berkenaan sudah selesai.

Malanjum kemudian mengetepikan dua rayuan itu.

Panel itu turut dianggotai Presiden Mahkamah Rayuan Ahmad Maarop; Hakim Besar Malaya Zaharah Ibrahim; Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Azahar Mohamed; Aziah Ali; Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin; Rohana Yusuf dan Mohd Zawawi Salleh serta Hakim Mahkamah Rayuan Umi Kalthum Abdul Majid.

Sementara itu, Latheefa, yang juga mewakili keluarga kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang memohon  kewarganegaraan , berkata beliau dimaklumkan bahawa Kementerian  Dalam  Negeri  bersedia  menimbang  permohonan keluarga itu, tetapi mereka perlu mengemukakan maklumat tambahan.

Peguam  Dr Cyrus Das, yang mewakili keluarga dua remaja lelaki dalam dua kes lagi, memberitahu mahkamah mereka akan memfailkan permohonan bagi mendapatkan taraf kerakyatan mengikut Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan menjelang Isnin ini.

“Kami juga akan menghadiri prosiding pendengaran rayuan berkenaan pada 26 Nov sekiranya tidak mendapat jawapan seperti diharapkan bagi permohonan kami itu. Permohonan kerakyatan mengikut Perkara 15A itu dibuat tanpa prejudis tentang keputusan rayuan yang dikemukakan,” katanya.

Pada 11 September tahun lepas, Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran  kepada  keluarga  berkenaan  untuk   membuat rayuan berhubung beberapa pesoalan undang-undang, termasuk sama ada rujukan  kepada  darah atau keturunan diperlukan mengikut Perlembagaan Persekutuan dalam menentukan kerakyatan kanak-kanak terbabit.

Dua kes pertama melibatkan seorang remaja berusia 18 tahun, yang tidak diketahui siapa ibu bapanya dan diambil sebagai anak angkat oleh sepasang suami isteri rakyat Malaysia, dan seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun, anak kepada seorang lelaki warganegara Malaysia dan seorang wanita warganegara Thailand, yang tidak berkahwin secara sah semasa dia dilahirkan.

Dua kes lagi melibatkan dua remaja lelaki masing-masing berusia 18 dan 17 tahun, yang tidak diketahui ibu bapa mereka dan dijadikan anak angkat secara barasingan oleh dua pasangan rakyat Malaysia.

Bagi kes kelima, panel hakim Mahkamah Rayuan memerintahkan kerajaan memberi kerakyatan kepada seorang kanak-kanak, yang bapanya seorang warganegara Malaysia dan ibunya berasal dari Papua New Guinea. – Bernama, 25 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen