BANJIR dan tanah runtuh berpunca daripada hujan lebat yang berterusan menyebabkan 25 orang terbunuh sejak dua hari lalu di Nepal.
Hujan lebat melanda banyak kawasan di wilayah timur negara itu dan bebebrapa kawasan di barat sejak pagi semalam, kata kementerian dalam negeri.
Bencana banjir berlaku di kawasan tanah rendah berpenduduk padat bersempadan dengan India, manakala beberapa kawasan tanah tinggi pendalaman di timur negara itu berdepan masalah tanah runtuh.
“Kami masih lagi mengumpul data jumlah kerugian. Menurut laporan awal kepada kementerian lebih 25 orang dikhuatiri mati,” kata jurucakap kementerian itu Deepak Kafle kepada AFP.
Pejabat perdana menteri negara itu turut mengeluarkan kenyataan berhubung jumlah kematian sejak semalam.
13 orang dilaporkan maut di daerah timur dan empat lagi dilaporkan hilang, kata ketua polis daerah Ramesh Bhattarai.
Talian telefon dan bekalan elektrik juga turut terjejas berikutan hujan lebat yang menyukarkan kerja pembaikan di kawasan pedalaman. – AFP, 12 Ogos, 2017.
Komen