MAHKAMAH Rayuan Perancis mengeluarkan penghakiman hari ini yang bekas presiden Nicolas Sarkozy perlu dibicarakan atas dakwaan menerima pembiayaan haram dalam kempen presiden 2012 yang gagal dimenanginya.
Sarkozy, 63, akan merayu keputusan itu di hadapan Cour de Cassation, mahkamah rayuan terakhir Perancis, kata peguamnya hari ini.
Ia adalah salah satu daripada beberapa siasatan undang-undang yang menyelubungi ahli politik haluan kanan itu sejak berundur.
Mengekalkan keputusan tahun lepas oleh seorang hakim yang memerintah Sarkozy dibicarakan, mahkamah rayuan menolak hujan pasukan peguamnya untuk mengelak perbicaraan memalukan dan hukuman sehingga setahun penjara sekiranya sabit bersalah.
Pendakwa raya mendakwa Sarkozy berbelanja hampir 43 juta euro (AS$51 juta) dalam kempen pemilihan semula presiden itu- hampir dua kali ganda daripada had perbelanjaan yang dibenarkan iaitu 22.5 juta euro- melalui invois palsu.
Sarkozy mencabar pertuduhan itu, berkata beliau tidak menyedari penipuan yang dilakukan eksekutif firma perhubungan awam, Bygmalion, yang juga berdepan pertuduhan bersama-sama akauntan dan bekas pegawai partinya, UMP. – 25 Oktober, 2018.
Komen