SERAMAI 1,641 individu berketurunan India bakal menerima kewarganegaraan selepas permohonan mereka diluluskan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.
Muyiddin berkata JPN menerima 3,853 permohonan kewarganegaraan daripada individu berketurunan India, termasuk 1,667 permohonan daripada mereka yang berusia 60 tahun ke atas.
“Di atas tekad yang dinyatakan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH), khususnya untuk menangani isu kewarganegaraan dalam kalangan kaum India, kerajaan memberi keutamaan terhadap permohonan kewarganegaraan bagi individu berketurunan India berumur 60 tahun ke atas,” katanya, ketika berucap dalam program penyerahan surat kelulusan warganegara Malaysia, di JPN, Putrajaya, hari ini.
Program itu turut menyaksikan 200 penerima berketurunan Melayu Indonesia, Cina, dan India menerima surat kelulusan kewarganegaraan mereka.
Turut menarik perhatian adalah warga emas berusia 103 tahun, Thanapakkiom Sannasy yang menerima surat berkenaan selepas 58 tahun menetap di Malaysia.
Pada sidang medianya, Muhyiddin berkata setakat ini, terdapat lebih 55,000 permohonan kewarganegaraan yang masih belum diluluskan.
“Ini (program) fasa pertama, kita serahkan kepada penerima, ada beberapa siri peringkat lagi.
“Ada penerima kaum India, Melayu Indonesia, Cina, ini kita laksanakan memenuhi janji manifesto PH.
“Warganegara yang sudah layak dan lama tinggal di Malaysia diberikan pertimbangan, (dengan syarat) mereka bermastautin lama dan berkelakuan baik, selain menguasai bahasa Malaysia, ini syarat pentingnya,” katanya yang juga ahli Parlimen Pagoh.
Menyelesaikan isu kaum India yang tidak mendapat taraf kewarganegaraan dalam masa 100 hari terkandung dalam manifesto PH jika berjaya mengambil alih Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-14, Mei lalu.
Sehingga 30 Jun lalu, seramai 269,899 pemegang kad pengenalan Pemastautin Tetap (MyPR) dan 33,957 Pemastautin Sementara (MyKas) yang berdaftar direkodkan di JPN. – 25 Oktober, 2018.
Komen