POLIS masih belum menerima sebarang arahan dari Pejabat Peguam Negara untuk membuka semula kes pembunuhan Teoh Beng Hock, kata Ketua Polis Negara Fuzi Harun.
“Kita belum dapat apa-apa arahan dari Pejabat Peguam Negara,” kata Fuzi kepada pemberita hari ini di Putrajaya selepas satu program penyerahan surat kelulusan warganegara Malaysia.
Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin pada sidang media sama turut mengulangi bahawa keputusan berhubung perkara itu perlu dibuat oleh Pejabat Peguam Negara.
“Masih di peringkat Pejabat Peguam Negara. Apa-apa keputusan nak dibuat mesti ada dari Pejabat Peguam Negara, sama ada untuk memulakan pendengaran semula dan sebagainya,” kata Muhyiddin.
Muhyiddin mengulas kenyataan peguam keluarga Teoh, Ramkarpal Singh semalam yang meminta beliau mengarahkan polis supaya membuka semula siasatan berhubung kematian itu.
Ramkarpal berkata beliau bingung dengan kenyataan Muhyiddin iaitu polis masih menunggu arahan lanjut untuk membuka kes tersebut.
“Kalau polis belum berbuat demikian, saya minta Muhyiddin, sebagai menteri dalam negeri, mengarahkan mereka melakukannya dengan segera,” kata ahli Parlimen Bukit Gelugor itu dalam satu kenyataan.
Dalam jawapan bertulis awal minggu ini, Muhyiddin memberitahu Dewan Rakyat bahawa pihak polis masih menunggu arahan untuk membuka semula kes kematian Teoh dan skop siasatan dari Pejabat Peguam Negara.
Ramkarpal berkata pengesahan Muhyiddin itu perlu ditangani kerana terdapat kekeliruan sama ada arahan tersebut sudah diberikan.
Dalam kenyataannya semalam, beliau mencadangkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat kes kematian Teoh.
Ini susulan Mahkamah Rayuan mendapati terdapat bukti perbuatan khianat dan kemungkinan pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mungkin terlibat dalam kematiannya.
Teoh yang merupakan setiausaha politik kepada bekas exco Selangor Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada Julai 2009 di tingkat lima pejabat SPRM Selangor di Plaza Masalam selepas disoal siasat selama 11 jam bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan beberapa wakil rakyat.
Ramkarpal berkata beliau menulis surat kepada peguam negara pada Julai, memohon supaya siasatan lanjut dijalankan.
Pejabat Peguam Negara kemudian membalas dengan berkata siasatan lanjut perlu dilakukan dan menulis kepada ketua polis negara supaya mengambil tindakan sewajarnya, kata Ramkarpal. – 25 Oktober, 2018.
Komen