PARLIMEN Iraq meluluskan 14 menteri baharu hari ini yang dicadangkan oleh Perdana Menteri Adel Abdel Mahdi, walaupun portfolio utama seperti pertahanan dan menteri dalam negeri masih belum dilantik.
Sejumlah 220 wakil rakyat daripada 329 yang dipilih pada Mei, meluluskan 14 pilihan Adel, termasuk menteri luar, kewangan dan minyak.
Selepas pilihan raya pada Mei, President Barham Saleh menyerahkan kepada Adel tugas untuk membentuk kerajaan baharu.
Adel, 76, seorang veteran politik Iraq yang juga pakar ekonomi dianggap cukup bebas untuk menubuhkan kerajaan di tengah-tengah perpecahan dalam golongan elit pemerintah.
Bekas menteri minyak itu mendapat sokongan Tehran dan Washington, satu kesepakatan yang amat perlu bagi negara yang terperangkap antara dua sekutu besar itu, yang saling bermusuhan.
Iraq menggunakan sistem mengundi berkadar untuk mengelak berlakunya sekali lagi pimpinan secara diktator selepas Saddam Hussein digulingkan pada 2003.
Peranan presiden dipegang oleh Saleh, 58, dikhaskan untuk puak Kurdi sejak pilihan raya pelbagai parti Iraq yang pertama pada 2005.
Di bawah perjanjian perkongsian kuasa, jawatan perdana menteri dipegang oleh Syiah, sementara speaker Parlimen dipegang Arab Sunni – jawatan yang diisi oleh Mohammed al-Halbusi bulan lalu.
Kerajaan baharu berdepan tanggungjawab besar dalam membina semula negara yang musnah akibat pendudukan militan Islamic State dan peperangan selama tiga tahun.
Ia juga perlu menangani masalah rasuah, kekurangan bekalan elektrik dan perkhidmatan awam yang teruk. – AFP, 25 Oktober, 2018.
Komen