GENOSID atau pembunuhan beramai-ramai atau pembersihan etnik terhadap umat Islam Rohingya di Myanmar masih berlaku, kata pasukan pengumpul maklumat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam laporannya yang dibentangkan di Majlis Keselamatan.
Menerusi laporan itu, pasukan berkenaan menggesa perkara itu dirujuk kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa.
Pengerusi Misi Pengumpul Maklumat di Myanmar untuk PBB Marzuki Darusman pada sidang akhbar berkata selain pembunuhan beramai-ramai, konflik itu termasuk penghinaan kepada populasi sasaran, menghalang kelahiran dan mangsa melarikan diri ke kem pelarian.
“Ia genosid yang masih berterusan berlaku. Kami anggap niat genosid itu boleh disimpulkan secara munasabah,” katanya ketika membentangkan laporan pasukannya di mesyuarat Majlis Keselamatan, mendesak kuasa Barat campur tangan tetapi dibantah oleh China dan Rusia.
Pasukan itu mendedahkan laporan 444 halaman yang kali pertama diumumkan bulan lalu. Ia mendesak supaya majlis itu merujuk situasi Myanmar kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa di The Hague, atau mengadakan tribunal jenayah antarabangsa tergempar, seperti yang pernah dilakukan terhadap Yugoslavia sebelum ini.
Laporan itu berkata jeneral kanan Myanmar, termasuk ketua panglima Min Aung Hlaing perlu disiasat dan didakwa atas kesalahan melakukan genosid di Rakhine.
Myanmar menafikan tuduhan bahawa pasukan ketenteraannya melakukan kekejaman dalam tindakan kerasnya tahun lalu yang menyebabkan 720,000 Rohingya melarikan diri ke sempadan hingga ke Bangladesh.
Konflik itu juga menyaksikan kira-kira 390 perkampungan musnah dan 10,000 Rohingya terbunuh, kata Darusman. – AFP, 25 Oktober, 2018.
Komen