Bom dihantar pada musuh Trump - Obama, Clinton, CNN


Polis dan anjing unit pengesan bom kelihatan di depan bangunan pejabat CNN selepas dilaporkan satu bungkusan berisi bom dihantar ke situ. – Gambar EPA, 25 Oktober, 2018.

BOM dihantar ke Barack Obama, pemimpin kanan Demokrat dan CNN – tokoh yang dibenci oleh penyokong Donald Trump – menghangatkan lagi landskap politik Amerika Syarikat (AS) yang sedia panas apabila pengkritik mendakwa presiden Republican itu menggalakkan keganasan.

Demokrat dan musuh Trump, Hillary Clinton antara yang menjadi sasaran beberapa hari sebelum rakyat negara itu mengundi pada 6 November ini dalam pilihan raya.

CNN diketahui sering memberi liputan kritikan kepada pentadbiran Trump dan memprovokasi presiden itu, yang menggantikan Obama selepas menewaskan Clinton pada 2016.

Amaran bom bermula pada Isnin dengan satu alat ditemui di rumah penderma liberal yang juga jutawan George Soros di New York.

“Setakat ini, kita ketahui ia bom,” kata ejen FBI Bryan Paarmann.

“Sama ada ia perbuatan individu atau ada jaringan, masih belum dapat dipastikan pada masa ini,” kata Ketua Polis New York James O’Neill.

Sekurang-kurangnya enam bungkusan mencurigakan dihantar ke New York, Washington dan Florida termasuk kepada tokoh Demokrat Amerika Afrika terkemuka – bekas peguam negara Obama, Eric Holder dan Maxine Waters, wakil rakyat dari California.

Mereka menerima satu sampul manila dengan bungkusan gelembung, ditanda dengan label alamat dicetak daripada komputer. Setiap bungkusan itu meletakkan nama Debbie Wasserman Schultz, bekas pengerusi Jawatankuasa Nasional Demokratik, sebagai pengirimnya.

Presiden AS merayu supaya tidak berlaku perpecahan dalam satu kenyataan ringkas berkata tindakan keganasan politik tiada tempat di AS.

Di Twitter, #MAGABomber mula menjadi trending di AS ketika pengguna media sosial mula membanjiri pelbagai laman web dengan tuduhan bahawa Trump mencetuskan serangan itu. – AFP, 25 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen