TAUFAN Willa membadai pesisir pantai barat Mexico pada Selasa, membawa angin kencang dan hujan lebat sebelum menjadi semakin lemah ketika ia menuju ke kawasan darat.
Taufan berkenaan, yang dicatatkan sebagai taufan Kategori 5 pada Isnin, semakin lemah kepada Kategori 3 ketika ia menuju ke daratan.
Namun pengkaji cuaca memberi amaran, taufan itu masih mampu memberi ancaman banjir dan tanah runtuh.
Dengan tanah yang diliputi air hujan, “boleh berlaku banjir lumpur, tanah runtuh, limpahan sungai yang akan melitupi jalan raya,” kata pusat kaji cuaca Mexico.
Bagaimanapun, kekuatan ribut taufan itu akan berkurangan dan dijangka hilang menjelang tengah hari Khamis, menurut Pusat Hurikan Kebangsaan AS.
Setakat ini, taufan berkenaan menuju ke barat tengah Mexico dan tiupan angin maksimumnya berkurangan kepada 55 kilometer sejam.
Lebih 4,250 penduduk di kawasan berisiko dipindahkan ke pusat pemindahan sementara, termasuk pelancong yang sedang bercuti di pantai berkenaan.
Mereka ditempatkan di 58 pusat pemindahan sementara. – AFP, 24 Oktober, 2018
Komen