CUBA pada Selasa mengkritik Amerika Syarikat (AS) yang belum menjelaskan tunggakan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lapor agensi berita Xinhua.
“Ia membimbangkan kerana negara paling banyak tunggakan ialah AS,” kata wakil tetap Cuba ke PBB Anayansi Rodriguez Camejo.
Ketika AS sering mengingatkan negara anggota lain mengenai pembiayaan, tunggakan Washington melebihi US$1.625 bilion atau 58 peratus, termasuk lebih US$800 juta untuk belanjawan misi pengaman PBB.
Duta Cuba itu turut mengecam AS kerana mentaliti negara tersebut yang berorientasikan perniagaan dalam menjalankan urusan dengan badan dunia itu.
Beliau berkata demikian pada mesyuarat kelima jawatankuasa (Pentadbiran dan Belanjawan), yang membincangkan situasi kewangan PBB.
Beliau berbangga kerana Cuba menjadi antara negara yang telah memenuhi kewajiban kewangannya, walaupun berdepan sekatan ekonomi, perdagangan dan kewangan yang dikenakan AS selama 56 tahun.
Seorang wakil AS membalas kritikan dengan mengatakan negaranya tetap komited kepada badan dunia itu termasuk memenuhi komitmen kewangan.
“Kerajaannya sangat serius dalam mengambil tanggungjawab antarabangsa,” kata Duta Besar AS bagi Pengurusan dan Pembaharuan PBB, Cherith Norman Chalet.
Perbincangan diadakan seminggu selepas timbalan setiausaha agung pengurusan, Jan Beagle memaklumkan kepada jawatankuasa mengenai kedudukan aliran tunai PBB adalah “tidak menentu”, dengan defisit lebih besar awal tahun ini.
Sebanyak 145 negara anggota telah menjelaskan bayaran belanjawan tetap sepenuhnya, sementara 55 lagi negara sudah memenuhi kewajipan kewangan misi keamanan. – Bernama, 24 Oktober, 2018.
Komen