SEORANG menteri merupakan antara tiga ahli Parlimen PKR yang diberikan amaran ekoran aduan ke atas mereka berhubung masalah yang timbul dalam pemilihan parti.
Jawatankuasa bantahan, rayuan dan disiplin parti dalam kenyataan hari ini mengesahkan surat amaran itu dikeluarkan tetapi tidak menyatakan aduan kesalahan yang dilakukan.
Menteri dimaksudkan adalah Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar, manakala dua lagi ahli Parlimen adalah Akmal Nasrullah Mohd Nasir (Johor Baru) dan June Leow Hsian Hui (Hulu Selangor).
Aduan yang dibuat ke atas ketiga-tiganya telah diterima, menurut jawatankasa itu lagi.
Dalam kes Akmal Nasrullah, jawatankuasa itu menyatakan bahawa keputusan pemilihan PKR di Johor akan dikekalkan.
Akmal Nasrullah pada 30 September lalu dilaporkan masuk ke dewan mengundi membawa senarai calon dan mengajar pengundi untuk mengundi ketika proses pemilihan cabang itu.
Ahli Parlimen Johor Bahru itu berjaya mengekalkan jawatannya sebagai ketua cabang kawasan tersebut.

Aduan ke atas Jayakumar yang merupakan ahli Parlimen Kuala Langat dibuat oleh ahli dari PKR Kedah namun tidak dinyatakan dalam laporan jawatankuasa.
Aduan ke atas Leow pula dibuat oleh PKR Hulu Selangor, menurut jawatankuasa itu lagi.
Jayakumar dan Leow bertanding bagi jawatan majlis pimpinan pusat PKR.
Pemilihan PKR yang bermula pada 22 September lalu berdepan pelbagai masalah berhubung sistem pengundian dalam talian e-voting.
Selain itu, aduan juga timbul berhubung masalah keahlian, politik wang, undi tidak diterima dan pengundian oleh anggota tentera.
Ahli PKR seramai lebih 800,000 orang itu mengundi secara berperingkat mengikut negeri. – 24 Oktober, 2018.
Komen