Empat maut dalam ribut ganas di Poland


Ribut ganas melanda Poland meragut empat nyawa. – Gambar EPA, 12 Ogos, 2017.

EMPAT orang termasuk dua remaja maut dalam kemalangan pelik di kawasan perkhemahan awal pagi tadi apabila ribut ganas melanda Poland di tengah-tengah gelombang panas, kata pihak bomba.

Kedua-dua mereka yang berusia 13 dan 14 tahun, dihempap pokok-pokok yang tumbang ketika sedang tidur di dalam khemah dan kira-kira 20 yang lain cedera apabila ribut pelik melanda kawasan perkhemahan untuk pasukan pengakap dan pandu puteri yang disertai 140 remaja di perkampungan Suszek.

Sementara itu, seorang wanita mati apabila sebatang pokok menghempap rumahnya di perkampungan Konarzyny manakala seorang lelaki yang sedang tidur di kampung berhampiran juga mati selepas dihempap pokok yang diterbangkan angin kencang.

Seramai 28 orang dilaporkan cedera sementara bekalan elektrik kepada setengah juta kediaman dan premis perniagaan dihentikan apabila angin kencang menumbangkan pokok serta mencabut bumbung-bumbung rumah di wilayah utara dan selatan.

Satu gelombang panas luar biasa menyaksikan suhu meningkat sehingga melebihi 30°C (kira-kira 140 Fahrenheit) di seluruh Poland sejak kebelakangan ini. Bagaimanapun, suhu dijangka menurun ke pertengahan 20°C  di kebanyakan wilayah pada minggu ini. –  AFP, 12 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen