FILIPINA akan membuka semula pusat peranginan terkenal, pulau Boracay kepada pelancong mulai Jumaat ini selepas ia ditutup selama enam bulan bagi membaiki kerosakan akibat lambakan pelancong yang tidak terkawal.
Pada April lalu, Presiden Rodrigo Duterte mengarahkan pulau itu ditutup sebagai usaha besar-besaran bagi memulihkan kemudahannya, selain mengekang pembangunan melampau sehingga ia digelar “loji kumbahan”.
Apabila dibuka semula, kemungkinan hanya segelintir hotel dan restoran dibenarkan beroperasi, selain langkah menguatkuasakan undang-undang lebih ketat di pantai, termasuk mengehadkan kedatangan pelancong dalam usaha memulihkan semula reputasi pulau itu.
Kesemua langkah ini bertujuan melindungi keindahan laut dan kualiti pasir pantai yang menjadi antara faktor tarikan jutaan pelancong setiap tahun.
Setiausaha Pelancongan Bernadette Romulo-Puya berkata beliau berharap imej pulau Boracay yang baharu itu akan membuka budaya pelancongan lestari di Filipina.
Pulau Boracay pernah dikategorikan majalah pelancongan sebagai antara pantai terbaik di dunia. – AFP, 24 Oktober, 2018.
Komen