PEMIMPIN-pemimpin Kemboja dan Laos hari ini berikrar untuk menarik balik tentera dari kawasan yang menjadi pertikaian di mana ketegangan menjadi-jadi selama berbulan-bulan, selepas kedua-dua perdana menteri mengadakan mesyuarat tergempar.
Kira-kira 30 askar Laos ditempatkan di wilayah Stung Treng di selatan Kemboja sejak April untuk menghentikan pembinaan sebatang jalan, menurut Perdana Menteri Kemboja Hun Sen.
Pertikaian itu meningkat semalam apabila Hun Sen mula menghantar kenderaan tentera ke kawasan terbabit, memberikan kata dua kepada Laos untuk berundur dalam tempoh enam hari atau menghadapi tindakan ketenteraan.
Bagaimanapun pada hari ini Hun Sen terbang ke Viantiane untuk menghadiri mesyuarat tergempar dengan rakan sejawatnya di Laos.
Kedua-dua pemimpin kemudian mengumumkan yang masalah itu sudah diselesaikan di dalam sebuah sidang akhbar bersama, yang disiarkan secara langsung di Facebook Hun sen.
Mereka mengumumkan akan meminta pegawai-pegawai sempadan menyempadani kawasan yang menjadi pertikaian seluas 540 km (335 batu), di mana pertengkaran wilayah adalah sangat biasa.
“Saya sudah mengarahkan pihak berkuasa yang berkenaan untuk menarik semula tentera pada esok pagi,” kata Perdana Menteri Laos Thongloun Sisoulith melalui penterjemah.
Hun Sen memuji perjanjian itu sebagai “kejayaan besar untuk kedua-dua negara” dan mengarahkan tenteranya untuk berpatah balik. – AFP, 12 Ogos, 2017.
Komen