AMERIKA Syarikat semalam berkata ia sudah membatalkan visa 21 pegawai Arab Saudi terlibat dalam pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi, tindakan paling keras diambil setakat ini kepada sekutu lamanya itu.
Setiausaha Negara Mike Pompeo berkata AS sudah “mengenalpasti beberapa individu” di sebalik pembunuhan wartawan Washington Post di pejabat konsul Arab Saudi di Istanbul itu.
“Hukuman ini tidak akan jadi yang terakhir dari Amerika Syarikat. Kami akan terus meneroka langkah tambahan untuk memastikan mereka yang terlibat bertanggungjawab,” kata Pompeo kepada wartawan.
“Kami sudah jelaskan yang Amerika Syarikat tidak akan bertolak ansur terhadap tindakan mendiamkan En Khashoggi, seorang wartawan, menerusi keganasan,” katanya.
Jurucakap Jabatan Negara Heather Nauert kemudiannya berkata langkah itu akan memberi kesan kepada 21 suspek warga Saudi yang sama ada visa mereka dibatalkan atau tidak layak terima visa.
Pompeo berkata warga Saudi berkenaan datang dari “perkhidmatan risikan, mahkamah diraja, kementerian luar dan kementerian Saudi yang lain.”
Diplomat kanan itu berkata AS juga sedang meneliti sama ada akan mengambil tindakan menerusi akta anti korupsi Magnitsky yang boleh mengenakan sekatan kewangan ke atas dalang di sebalik pembunuhan Khashoggi.
Wakil rakyat AS sudah mendesak Presiden Donald Trump mengambil tindakan tegas, beberapa orang daripada mereka mencadangkan pengunaan Akta Magnitsky.
Pompeo bagaimanapun menegaskan yang AS masih menganggap Arab Saudi sekutu rapat, berkata beliau dan Trump “tidak gembira” dengan langkah yang diambil ke atas negara itu. – AFP, 24 Oktober, 2018.
Komen