LEBIH daripada 20 orang, kebanyakkannya penyokong bola sepak dari Rusia cedera semalam selepas escalator sebuah stesyen kereta api bawah tanah di tengah Rome runtuh, kata bomba dalam kejadian yang disalahkan kepada tindakan ganas penyokong bola sepak.
Kebanyakannya cedera-seorang daripada mereka parah- di kaki selepas terjerat dalam jentera eskalator, lapor media Itali.
Sebuah rakaman video menunjukkan eskalator di Stesyen Republica yang sedang turun tiba-tiba memecut laju membawa berpuluh orang di atasnya, ramai menjerit ketakutan apabila mereka bertindih sesama sendiri di bawah eskalator tersebut.
Laporan media memetik kenyataan saksi mendakwa penyokong bola sepak tersebut yang mabuk mula melompat dan menari di atas eskalator sebelum ia runtuh, tetapi mangsa menafikan berbuat demikian.
“Dalam apa keadaan sekalipun, kita di sini untuk memahami apa yang berlaku dan memberikan sokongan kepada mereka yang cedera dan keluarga mereka,” kata Datuk Bandar Rome Virginia Raggi kepada wartawan di tempat kejadian.
Beberapa kertas siasatan sudah dibuka, dan stesyen kereta api berhampiran stesyen Termini sudah ditutup.
Kejadian itu berlaku sekitar jam 1730 GMT, beberapa jam selepas perlawanan Liga Juara antara Roma (Itali) dan CSKA Moscow (Rusia) bermula.
Penyokong Rusia itu sedang menuju ke kereta api yang akan membawa mereka ke stadium.
Terdapat peningkatan kawalan keselamatan di Rome apabila dianggarkan hampir 1,500 penyokong Rusia yang dikenali ramai sebagai penyokong kasar dijangka datang untuk menonton perlawanan tersebut.
Seorang penyokong Rusia yang diharamkan masuk stadium sudah ditahan di lapangan terbang ketika cuba memasuki Itali.
Tetapi menurut media Itali, ia tidak menghalang beberapa kejadian buruk lain berlaku di sekitar stadium ketika perlawanan berlangsung. Seorang penyokong Rusia ditikam dengan pisau, dan dua lagi cedera dalam pergaduhan.
Roma menang 3-0 dalam perlawanan peringkat kumpulan itu.
Sistem pengangkutan awam Rome seringkali dikritik kerana kemudahan tidak memuaskan.
Sejak beberapa tahun lepas, beberapa buah bas awam terbakar dan wujud laporan penumpang kereta api bawah tanah cedera kerana kegagalan operasi pengangkutan awam itu. – AFP, 24 Oktober, 2018.
Komen