MAJLIS Profesor Negara (MPN) masih lagi beroperasi seperti biasa walau Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pembubarannya pada Mei lalu.
Timbalan Pengerusi MPN Shamsul Amri Baharuddin berkata, badan yang dianggotai 1,426 profesor daripada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) negara itu tidak boleh dibubarkan kerana berdaftar sebagai syarikat.
Oleh itu mereka akan tetap beroperasi, namun dengan lebih bebas tanpa dinaungi mana-mana kementerian, kata Shamsul.
“MPN tidak pernah dan tidak boleh dibubar kerana ianya terdaftar sebagai sebuah syarikat dengan jaminan di bawah Akta Syarikat 2016.
“MPN terus beroperasi, tidak di bawah mana-mana kementerian tetapi sebagai badan bebas, semacam NGO (pertubuhan bukan kerajaan),” kata Shamsul kepada The Malaysian Insight.
Pembubaran MPN diumumkan Dr Mahathir pada 23 Mei lalu, selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet pertama kerajaan PH selepas parti itu menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Turut dibubarkan adalah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Spad).
Dr Mahathir berkata, pembubaran MPN yang ditubuhkan sejak 2010, dibuat kerana badan itu dipengaruhi unsur-unsur politik ketika pentadbiran kerajaan BN.
“Pada mulanya, MPN satu badan yang kita guna untuk dapat maklumat daripada orang yang ada pengetahuan tinggi tetapi akhir-akhir ini banyak unsur politik sehingga mereka dipergunakan untuk mendokong kerajaan.
“Sebab itu kita tidak mahu ulang amalan-amalan tidak baik yang dibuat kerajaan terdahulu,” kata Dr Mahathir, ketika sidang medianya itu.
Shamsul bagaimanapun berkata, kali ini MPN turut beroperasi untuk bidang akademik antarabangsa.
“MPN masih beroperasi bukan sahaja untuk kerajaan, tapi juga untuk badan-badan awam lain, badan masyarakat sivil dan pertubuhan akademik dan bukan akademik rantau Asean (Asia Tenggara) dan antarabangsa.
“Untuk sekarang struktur lama masih dikekalkan, sebarang perubahan memerlukan konsultansi dengan ahli dan merumuskan persetujuan yang terbaik,” katanya lagi. – 27 Oktober, 2018.
Komen