14 maut keganasan disebabkan wabak Ebola di Congo


Ketegangan tercetus kerana penduduk tempatan tidak percaya dengan usaha mengekang penularan wabak oleh petugas kesihatan. – Gambar EPA, 23 Oktober, 2018.

SEORANG lelaki bersenjata tidak dikenali menembak mati sekurang-kurangnya 14 orang, termasuk dua petugas kesihatan di timur Congo, di kawasan di mana militia menghalang usaha kerajaan membendung wabak Ebola.

Penularan wabak yang terkini itu menyebabkan 152 orang maut, kebanyakannya di wilayah Utara Kivu dan Ituri, yang menjadi pusat pemberontakan bersenjata dan pembunuhan etnik sejak dua perang saudara pada akhir 1990-an.

Jumlah kes meningkat dengan pantas sejak dua minggu lalu dan jawatankuasa pakar kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada Rabu mengatakan, wabak mungkin akan bertambah buruk.

Menteri Kesihatan Oly Ilunga berkata insiden tembakan itu amat menyedihkan, petugas kesihatan tidak sepatutnya menjadi sasaran kumpulan bersenjata. Bagaimanapun, penyerang belum dapat dikenal pasti.

Ketegangan tercetus kerana penduduk tempatan tidak percaya dengan usaha mengekang penularan wabak oleh petugas kesihatan,

Petugas kesihatan juga berdepan gangguan oleh kumpulan pemberontak yang mengganggu kerja-kerja rawatan, proses pengebumian pesakit maut akibat Ebola dan program vaksinasi.

Kementrian kesihatan mengatakan di Butembo, sekumpulan 22 lelaki menggali kubur mangsa Ebola untuk memastikan organ mereka dikeluarkan oleh pekerja kesihatan, dengan itu menyebabkan mereka mudah dijangkiti.

Pada Ahad, kesemua lelaki itu diberikan suntikan vaksin. – Bernama, 23 Oktober, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen