Skandal telur tercemar Eropah kini merebak ke Hong Kong


Susulan telur tercemar dikatakan memasuki Hong Kong, menteri kesihatannya berkata pihak berkuasa akan mengetatkan pemeriksaan terhadap telur dari Eropah. – Gambar AFP, 12 Ogos, 2017.

SKANDAL telur tercemar dengan racun serangga yang kini merebak ke 15 negara Eropah, Switzerland dan kini sejauh Hong Kong bermula semalam, menyebabkan Suruhanjaya Eropah mengadakan mesyuarat khas menangani krisis itu.

Menteri dan ketua keselamatan makanan dari seluruh Kesatuan Eropah dijangka bertemu pada 26 September untuk mencapai kata sepakat dan menghentikan sikap saling menyalahkan satu sama lain berhubung kebimbangan pencemaran itu membabitkan bahan kimia fipronil.

Jutaan telur ditarik balik dari pasar raya seluruh Eropah dan berdozen ladang ayam ditutup sejak penemuan fipronil, yang boleh menjejaskan kesihatan manusia, dimaklumkan kepada umum pada 1 Ogos.

Isu itu mencetuskan perbalahan antara Belgium, Belanda dan Jerman, tiga negara yang menjadi pusat krisis itu, mengenai berapa lama mereka sudah tahu mengenai masalah itu.

“Menyalahkan satu sama lain tidak akan menyelesaikan masalah dan saya mahu hentikan semua ini,” kata Vytenis Andriukaitis, pesuruhjaya kesihatan dan keselamatan makanan Eropah.

Fipronil biasanya digunakan untuk membunuh lalat dan kutu daripada haiwan tetapi diharamkan oleh Kesatuan Eropah digunakan dalam industri makanan.

Kesatuan itu bertegas mengatakan ia tidak mengancam kesihatan manusia, tetapi Organisasi Kesihatan Dunia berkata jika dimakan dalam jumlah besar ia boleh menjejaskan buah pinggang dan hati manusia.

Brussels berkata 15 negara Kesatuan Eropah yang terjejas ialah Belgium, Belanda, Jerman, Perancis, Sweden, Britain, Austria, Ireland, Itali, Luxembourg, Poland, Romania, Slovakia, Slovenia dan Denmark, bersama Switzerland.

Tetapi krisis itu kini semakin tersebar apabila Brussels turut mengumumkan Hong Kong menerima sebahagian telur tercemar itu dari Belanda, menjadikan kota paling selatan China itu lokasi pertama di Asia yang diketahui turut terjejas.

Menteri Kesihatan Hong Kong Sophia Chan berkata pihak berkuasa akan mengetatkan pemeriksaan terhadap telur dari Eropah. – AFP, 12 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen