CENDEKIAWAN terkemuka Tariq Ramadan, yang didakwa merogol dua wanita di Perancis, hari ini berkata beliau dan kedua-duanya melakukan hubungan seks atas dasar suka sama suka selepas sebelum ini menafikan sebarang hubungan fizikal.
Tariq, seorang pengulas TV terkenal, menafikan dakwaan memperkosa di bilik hotel dan menganggapnya sebagai usaha mencemar nama oleh oleh musuhnya.
Peguamnya, Emmanuel Marsigny berkata, ahli akademik Switzerland itu mengubah pengakuan mengenai apa yang berlaku berdasarkan mesej teks antara beliau dan dua wanita itu.
Mesej “menunjukkan plaintif berbohong dan perlakuan seksual itu dikehendaki, dipersetujui dan bahkan diingini lagi selepas itu”, kata Marsigny.
Pembongkaran semua ini “membolehkan beliau mengakui mempunyai hubungan seks” dengan wanita, kata Marsigny.
Tariq, yang dituduh merogol wanita pada 2009 dan 2012, ditahan sejak 2 Februari lalu.
Beliau sebelum ini menegaskan tidak melakukan hubungan seksual dengan dua penuduhnya, aktivis wanita Henda Ayari dan seorang wanita kurang upaya yang dikenali dalam laporan media sebagai “Christelle”.
Tariq, profesor di Universiti Oxford sehingga terpaksa bercuti apabila tuduhan rogol muncul semasa gerakan “Me Too” akhir tahun lalu.
Bulan lalu seorang pakar komputer yang terlibat dalam siasatan berjaya mengesan 399 mesej teks antara Ramadan dan Christelle, yang mendakwa dirogol di bilik hotel Lyon pada 2009.
Mesej teks itu memperincikan fantasi seksual Tariq yang ganas menjelang serangan yang dikatakan.
Dalam satu mesej - dihantar pada tarikh tidak diketahui - Christelle menulis kepada Tariq: “Saya merindui anda sebaik sahaja anda pergi”.
Tetapi peguam Christelle berhujah di mahkamah bahawa mesej menunjukkan hubungan seksual mereka bukanlah dengan rela, dan Tariq menyedari perkara itu.
Rekod menunjukkan Tariq menulis kepadanya selepas itu: “Saya merasakan ketidakselesaan anda ... maaf atas ‘keganasan’ saya.”
Tariq sebelum ini berkata hanya pernah bersemuka dengan Christelle semasa minum di bar hotel, yang digambarkannya sebagai “pembohong kompulsif”.
Tetapi peguamnya, Eric Morain berkata pada Isnin yang Tariq “berbohong selama 11 bulan” sambil “mendabik dada dan berlagak sebagai pahlawan kebenaran”.
Peguam Tariq juga memberikan butiran mengenai hubungan dengan Ayari, yang dituduh dirogol di sebuah hotel di Paris pada 2012.
Lelaki berusia 56 tahun itu juga dituduh merogol seorang wanita di Switzerland, dengan seorang pendakwa dari negara jiran datang untuk menyoalnya.
Bapa empat anak dan cucu kepada pengasas Ikhwanul Muslimin Mesir, berulang kali memohon jaminan dan mempertikaikan penahanannya di penjara menyukarkan beliau merawat sklerosis berganda dihidapinya.
Mahkamah setakat ini menolak permintaannya, memutuskan beliau masih boleh menerima rawatan yang memadai di hospital penjara di Fresnes, terletak di selatan Paris. – AFP, 23 Oktober, 2018.
Komen