Umno terpedaya? Suka hati Dr Mahathir, kata Zahid


Yasmin Ramlan

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi hari ini menempelak wartawan yang bertanyakan soalan sama ada beliau akan bercuti daripada parti kerana berdepan pertuduhan jenayah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Oktober, 2018.

AHMAD Zahid Hamidi menangkis dakwaan bahawa kedudukannya sebagai presiden Umno dan parti itu sendiri dalam keadaan lemah.

Beliau diminta mengulas kenyataan Dr Mahathir Mohamad semalam bahawa Umno tiada masa depan kerana ahlinya hanya mempertahan pemimpin rasuah.

“Umno ada… nampak?” kata Zahid ketika ditanya pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Ditanya sekiranya beliau akan bercuti sebagai presiden sementara kes pengubahan wang haram dan pecah amanah dibicarakan, Zahid menyoal kembali hak wartawan untuk bertanya soalan tersebut.

“Apa hak awak untuk tanya soalan ini?” katanya.

Dr Mahathir dalam satu forum semalam juga berkata, ahli Umno terpedaya kerana masih mempertahankan bekas perdana menteri Najib Razak dan dakwaan bahawa wang diterima daripada 1MDB adalah derma dari Arab Saudi.

Zahid ketika ditanya soalan itu sekadar berkata: “Suka hati dialah”.

Dalam satu kenyataan di Twitter seterusnya, Zahid meminta ahli Umno agar tidak gentar dengan ugutan untuk membubarkan parti itu.

“Semangat ahli tetap utuh. Biarpun pemimpinnya disiasat dan diheret ke mahkamah, Umno tidak akan terbubar dari dalam.

“Biarkan usaha pembubaran dilakukan pihak berkuasa, Umno akan tetap bangkit semula. Bangkitlah,” coretnya.

Zahid pada minggu lalu didakwa di mahkamah dengan 45 tuduhan mengubah wang haram, menerima habuan bagi meluluskan projek bawah Kementerian Dalam Negeri, dan menyeleweng dana pertubuhannya, Yayasan Akalbudi.

Setiausaha Agung Umno Annuar Musa semalam berkata majlis tertinggi parti itu akan membincangkan kedudukan Zahid sebagai presiden dalam mesyuaratnya selepas ini.

Katanya, parti itu tidak menetapkan undang-undang bagi pemegang jawatan untuk bercuti apabila dihadapkan ke mahkamah. – 23 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen