PBB didesak wujudkan konvensyen lindungi pekerja media


Pekerja media antara kumpulan berdepan risiko nyawa dan kecederaan tinggi kerana pekerjaan mereka. Tahun lepas, 82 wartawan seluruh dunia dibunuh kerana pekerjaan mereka, tetapi hanya segelintir yang disiasat. – Gambar EPA, 23 Oktober, 2018.

SEBUAH kumpulan wartawan semalam melancarkan kempen mendesak Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mewujudkan konvensyen untuk melindungi hak asasi pekerja media seluruh dunia.

Persekutuan Wartawan Antarabangsa (IFJ) berkata matlamat kempen tersebut adalah untuk menghentikan tindakan ganas pencabulan hak asasi wartawan ketika kemarahan dunia memuncak susulan pembunuhan wartawan Arab Saudi, Jamal Khashoggi.

Mesyuarat awal di Ibu Pejabat PBB disertai lima belas negara termasuklah Greece, Rusia, Pakistan, Peru, Itali dan Tunisia, kata Ketua IFJ Anthony Bellanger.

Organisasi berpangkalan di Brussels itu mewakili lebih 600,000 wartawan di 134 buah negara.

Usaha itu mula dapat perhatian dengan kes Khashoggi yang dibunuh pada 2 Oktober lalu di pejabat konsul Arab Saudi di Istanbul. Kes itu hanyalah segelintir kesukaran yang dihadapi wartawan yang berdepan risiko ancaman, serangan malah dibunuh.

Penganjur kempen itu berkata mustahil untuk menunggu seorang lagi wartawan dibunuh tanpa bertindak; 82 wartawan di seluruh dunia disahkan dibunuh tahun lepas, dan hanya satu daripada 10 kes itu disiasat.

“Penghargaan terbaik yang kitab oleh beri kepada mangsa yang tak pernah penat bekerja dan membongkar adalah menghapuskan bayangan keganasan yang menyelubungi kewartawanan sekian lama,” kata Bellanger.

Kempen itu bermatlamat untuk mempengaruhi beberapa negara membawa cadangan itu kepada Perhimpunan Agung PBB, satu-satunya badan berkuasa yang boleh memulakan proses mewujudkan konvensyen antarabangsa. – AFP, 23 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen