SISTEM pengangkutan ultra-laju Hyperloop diasaskan Elon Musk akan didedahkan di Los Angeles pada awal Disember dengan ujian pemanduan percuma kepada orang awam, umum usahawan itu.
“Terowong pertama hampir siap,” kata Musk melalui Twitter pada lewat malam Ahad. “Dibuka pada 10 Disember.”
Membalas komen di Twitter, Musk berkata akan ada majlis perasmian pada malam itu dan “perjalanan percuma untuk orang awam keesokan harinya.”
Syarikat Musk, “The Boring Company,” berusaha mengubah sistem pengangkutan bawah tanah dengan konsep masa depan yang secara radikal boleh mempercepat perjalanan antara dan dalam bandar.
Dalam satu twit susulan, Musk berkata ujian terowong sudah mencapai tahap kelajuan selaju 155 batu per jam (250 kilometer per jam).
Penyokong teknologi itu sudah membincangkan visi masa depan apabila perjalanan antara Los Angeles dan San Francisco hanya akan mengambil masa 30 minit berbanding lima sehingga enam jam pada masa sekarang.
Hyperloop adalah pod perjalanan di atas landasan magnetik seperti kereta api dengan gerabak tanpa atau hanya sedikit udara. Secara teorinya, hyperloop membenarkan perjalanan lebih pantas berbanding kelajuan bunyi.
Mei lalu pada pembentangan di Los Angeles, Musk berkata kenderaan itu boleh sampai di kawasan pinggir LA dari lapangan terbang dalam tempoh kurang 10 minit, dengan matlamat jangka panjang untuk mencapai kelajuan 300 batu per jam.
Hyperloop adalah salah satu inisiatif masa depan Musk bersama-sama SpaceX dan Tesla Motors. Saham Tesla menjunam jatuh 30% sejak 7 Ogos lalu apabila beliau mengumumkan penswastaan Tesla.
Beliau kemudiannya membayar denda AS$20 juta selepas Suruhanjaya Saham dan Sekuriti AS menuduhnya menipu.
Seorang lagi usahawan inovasi, Richard Branson yang seperti Musk terlibat dalam pelancongan angkasa juga memulakan Virgin Hyperloop One yang sedang diuji di Nevada dan membuka pusat kajian di selatan Sepanyol.
Pada Isnin, Virgin Hyperloop One mengesahkan yang Branson berundur daripada lembaga pengarah, berkata syarikat itu “memerlukan seorang pengerusi yang lebih banyak terlibat” dalam operasinya.
Kerusi Branson dalam lembaga pengarah akan diserahkan kepada seorang eksekutif kanan Kumpulan Virgin.
Tiada kenyataan dikeluarkan minggu lepas oleh Branson selepas penggantungan dua ahli lembaga pengarah berkaitan projek pelancongan angkasa di Arab Saudi susulan kehilangan misteri wartawan Jamal Khashoggi.
Dalam kenyataan minggu lepas, Branson berkata Kumpulan Virgin juga menangguhkan perbincangan dengan Arab Saudi mengenai cadangan pelaburan dalam Virgin Galactic yang dijadualkan melancarkan penerbangan angkasanya dalam masa beberapa minggu lagi.
Beberapa syarikat “startups” mula merealisasikan idea hyperloop selepas kebolehlaksanaanya diumumkan kepada awam dalam kertas putih dikeluarkan Musk lebih lima tahun lalu.
Syarikat Kanada Transpod sedang berusaha memulakan ujian sistem itu di Perancis. – AFP, 23 Oktober, 2018.
Komen