Tentera sekutu Syria diketuai AS serang masjid IS


Tentera bersekutu Syria diketuai Amerika Syarikat dalam proses terakhir menggempur habis-habisan sisa kawasan masih dalam kawalan IS, minggu ini sahaja mereka menyerang dua masjid kerana jadi pusat kawalan dan arahan pengganas. – Gambar EPA, 23 Oktober, 2018.

KETUMBUKAN tentera diketuai AS yang berjuang melawan pengganas Kumpulan Islam (IS) di timur Syria semalam berkata mereka mengebom sebuah masjid dipercayai pusat arahan pengganas itu- serangan kedua seperti ini minggu ini.

Tentera bersekutu itu semalam berkata, ia “memusnahkan beberapa bangunan” digunakan pengganas IS “untuk menyerang rakan Tentera Demokratik Syria” di perkampungan Sousa.

Salah sebuah bangunan tersebut adalah “masjid yang digunakan untuk pusat arahan dan pertahanan,” katanya dalam satu kenyataan, menambah beberapa orang pengganas IS turut terbunuh.

Ia adalah masjid kedua jadi sasaran tentera dalam tempoh empat hari kerana didakwa jadi sarang pengganas IS, satu lagi serangan berlaku pada Khamis.

Tentera Demokratik Syria (SDF) yang disokong AS sedang berjuang menentang pengganas di kawasan itu. SDF sudah berjaya mengusir IS di utara dan timur Syria.

Pada Ahad, jurucakap pakatan tentera Sean Ryan berkata serangan serupa berlaku di Sousa pada Khamis terhadap sebuah masjid yang digunakan sebagai “pusat kawalan dan arahan.”

Ryan berkata 12 pengganas IS turut terbunuh dalam serangan itu.

Bangunan keagamaan selalunya dilindungi Konvensyen Geneva kecuali ia digunakan “untuk matlamat ketenteraan,” kata jurucakap Pentagon Rob Manning semalam.

“Apabila ISIS dengan sengaja menggunakan bangunan itu sebagai pusat kawalan dan arahan, ISIS menyebabkan ia hilang status perlindungan,” tambahnya.

Menurut Pemerhati Syria untuk Hak Asasi, serangan pada Khamis membunuh 18 orang awam termasuk tujuh kanak-kanak, semua mereka ada hubungan dengan pengganas IS.

Menurutnya lagi, 11 pengganas IS terbunuh dalam serangan itu.

Menurut tentera dalam kedua-dua serangan, hanya pengganas IS yang berada di tempat tersebut.

Jarak kedua-dua masjid itu secara kasarnya hanya tiga kilometer, kata pegawai tentera AS.

Pengganas adalah “sasaran tentera,” kata Manning. “Mereka kejam, mereka ganas. Mereka tiada etika dan mereka tiada masalah membahayakan nyawa orang awam.” – AFP, 23 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen