TINDAKAN Ahli Parlimen Jeli Mustapa Mohamed keluar parti tidak begitu memberi kesan kepada Umno Kelantan kerana akar umbi masih kuat, kata pemimpin Umno negeri.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub mendakwa, pergolakan itu hanya melibatkan pemimpin di peringkat pertengahan seperti ketua bahagian dan wakil rakyat serta bekas pemimpin.
Malah kata Jazlan, usaha Pakatan Harapan (PH) terutamanya dari Bersatu untuk menarik ahli Umno menyertai mereka sehingga kini juga masih belum membuahkan hasil.
“Walaupun Tok Pa meninggalkan Umno dan ada bekas-bekas pemimpin meninggalkan Umno tetapi Umno Kelantan tetap kukuh dan utuh. Sebenarnya Umno di akar umbi tidak ada apa-apa.
“Yang kelam kabut (adalah) pemimpin di peringkat pertengahan seperti ketua bahagian, wakil rakyat. Ini yang sebenarnya dibincangkan hari ini.
“Di bawah tiada apa masalah. Sebenarnya parti kerajaan hari ini masih lagi tercari-cari punca bagaimana hendak menarik rakyat menyertai parti mereka tetapi tidak berjaya sampai hari ini,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insight di Pasir Puteh.

Menurut ahli Parlimen Machang itu, majoriti rakyat Kelantan sukar untuk menerima parti selain daripada PAS dan Umno yang mendominasi negeri itu selama berpuluh tahun walaupun pelbagai usaha sudah dilakukan PH.
Jelasnya, penolakan rakyat Kelantan ke atas Dr Mahathir Mohamad dan DAP menyebabkan 47 calon PH hilang wang deposit daripada 59 kerusi yang ditandingi di negeri itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.
“Pada waktu dan saat Pakatan Harapan mengumumkan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri, di situlah orang Kelantan mulai tolak PH. Orang Kelantan dari dulu lagi ada sentimen tidak suka Dr Mahathir.
“Kepercayaan rakyat Kelantan hanya pada dua parti, kalau tidak Umno, PAS. Jika keluar daripada Umno pun sebab kecewa atau Umno diharamkan, jangan Bersatu mengharapkan ahli Umno akan masuk.
“Apa yang terjadi selepas Semangat 46 dibubarkan? Ahli Semangat 46 tidak semua sertai Umno. Sebahagian masuk PAS. Dia tidak akan pergi sokong parti lain,” kata bekas timbalan menteri luar bandar itu.
Meskipun sudah 28 tahun Umno menjadi pembangkang di Kelantan, dalam PRU14 lalu buat pertama kali ia turut menjadi pembangkang di peringkat persekutuan.

Bagaimanapun kata Jazlan, ia tidak bermakna Umno akan mengadakan rundingan pintu belakang dengan PAS untuk menyertai kerajaan negeri parti Islam itu sebaliknya akan kekal setakat ini sebagai pembangkang.
“PKR 20 tahun reformasi, kita baru lima bulan lebih. Bagi saya biarlah kita kekal sebagai pembangkang.
“Kita akan menegur kerajaan negeri dan pusat mengikut cara pentadbiran kita sebelum ini. Kita perlu beritahu rakyat, jika kita pemerintah, apa yang kita akan buat dalam sesuatu isu atau perkara yang berbangkit,” katanya.
“Ini pemimpin-pemimpin Umno yang tidak boleh duduk dalam kekalahan. Pemimpin Umno ini ramai orang kenal jadi berita dia keluar itu sensasilah.
“Yang sebenarnya apa yang berlaku di bawah, penyokong Umno bertambah kuat lagi,” katanya sambil merujuk program Jelajah Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan ke bahagian-bahagian seluruh Kelantan yang mendapat sambutan.

Menurut Zawawi, rata-rata rakyat Kelantan yang merupakan pekebun, petani dan peniaga sudah mula rasa tidak puas hati dengan prestasi kerajaan PH menguruskan ekonomi.
Beliau yakin sekiranya PRU15 diadakan dalam masa terdekat, PH akan hilang wang deposit di semua kerusi yang ditandingi di Kelantan.
“Soal ekonomi orang kampung, dulu orang kampung merasa sawit harga RM580, RM620 tetapi sekarang ini RM350 itupun harga di kilang. Harga di kebun lagi teruk.
“Kos sara hidup bertambah tinggi, pendapatan duit jualan orang kampung seperti sayur jatuh. Barangan yang dikeluarkan hasil produk kampung, jatuh.
“Kalau berlaku pilihan raya pada hari ini, bukan 48 kerusi tetapi 45 kerusi DUN tambah 14 kerusi Parlimen, 59 calon PH akan hilang deposit semua. Rakyat marah hari ini,” ujarnya. – 23 Oktober, 2018.
Komen