Pembunuhan Jamal Khashoggi dirancang rapi, kata Turki


Jurucakap Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP), Omar Celik berkata pembunuhan Jamal Khashoggi sangat rumit dan dirancang begitu rapi. – Gambar EPA, 22 Oktober, 2018.

PEMBUNUHAN wartawan Arab Saudi Jamal Khashoggi dalam konsulat Riyadh di Istanbul “dirancang rapi”, kata jurucakap parti pemerintah Turki. 

“Ia dirancang dengan sangat rapi, dan kami berdepan dengan situasi di mana terdapat banyak usaha untuk menutup perkara ini,” kata jurucakap Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP), Omar Celik di Ankara.

“Pembunuhan ini sangat rumit.

“Orang (lain) boleh buat spekulasi tetapi kami tidak boleh membuat spekulasi,” kata Celik.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa “tawar menawar” antara Arab Saudi dan Turki adalah tidak bermoral.

Sabtu lalu Riyadh berkata Khashoggi yang merupakan bekas anggota rejim yang kemudian menjadi pembangkang, meninggal dunia akibat pergaduhan dalam konsulat selepas ke sana untuk mendapatkan dokumen pada 2 Oktober.

Riyadh juga berkata 18 orang rakyat Arab Saudi ditangkap berhubung kematian Khashoggi, manakala dua pembantu tertinggi Putera Mahkota Mohammed bin Salman dan tiga ejen perisik lain dipecat.

Sebelum Riyadh membuat pengakuan, sumber-sumber Turki berkata sepasukan 15 rakyat Saudi dihantar ke Istanbul dan membunuh Khashoggi. Wartawan di Washington Post itu sering mengkritik Putera Mahkota yang berhijrah ke Amerika Syarikat pada tahun lepas.

Media pro kerajaan Turki berkata pasukan itu menyoal siasat, menyeksa dan memenggal Khashoggi, tetapi seorang kolumnis pro kerajaan, Abdulkadir Selvi hari ini menulis di akhbar Hurriyet bahawa Khashoggi dicekik sampai mati sebelum dikerat 15.

Celik merujuk kepada rakaman CCTV yang disiarkan oleh CNN hari ini, yang didakwa menunjukkan salah seorang pegawai Arab Saudi yang menyamar sebagai Khashoggi dan meninggalkan konsulat.

Dalam video terbabit, seorang lelaki yang CNN namakan sebagai Mustafa al-Madani, meninggalkan konsulat melalui pintu belakang memakai pakaian Khashoggi - walaupun kasutnya tidak sama seperti yang dipakai oleh Khashoggi seperti dalam rakaman CCTV ketika wartawan itu masuk ke dalam konsulat. – AFP, 22 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen