Lelaki Palestin ditembak mati lepas tikam askar Israel


Seorang rakyat Palestin ditembak mati selepas menikam seorang askar Israel berdekatan Masjid Ibrahim di Hebron. – Gambar EPA, 22 Oktober, 2018.

SEORANG lelaki Palestin ditembak selepas menyerang askar Israel di Hebron, kata tentera Israel pada Isnin.

“Seorang penyerang cuba menikam seorang askar berdekatan Masjid Ibrahim, menyebabkannya cedera ringan. Askar lain yang berada di situ membalas dengan tembakan,” kata tentera dalam satu kenyataan.

Tentera Israel mengesahkan penyerang adalah warga Palestin dan ditembak mati, tanpa memberi butiran lanjut mengenai identiti penyerang itu.

Satu siri serangan maut telah menambah ketegangan di Tebing Barat bulan ini.

Pada 15 Oktober, seorang rakyat Palestin ditembak mati selepas menikam seorang askar di utara Tebing Barat.

Awal bulan ini, dua warga Israel ditembak mati dan seorang lagi dicederakan oleh oleh seorang warga Palestin di zon perindustrian Tebing Barat. Ini menyebabkan askar Israel giat memburu suspek.

Pada 2015 ramai penyerang tunggal membuat serangan terhadap warga Israel. Walaupun semakin berkurangan sejak itu, penganalisis tetap bimbang terhadap potensi serangan lain. – AFP, 22 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen