FACEBOOK akan mencipta satu aplikasi perkongsian foto tanpa melampirkan jenama rangkaian sosial itu di China.
“Kami telah lama mengatakan yang kami berminat di China, dan menghabiskan masa untuk memahami dan mempelajari lebih banyak mengenai negara dengan cara yang berbeza,” kata wakil Facebook semalam dalam respon e-mel.
“Tumpuan kami sekarang adalah membantu ahli perniagaan dan pemaju China berkembang ke pasaran baharu di luar China dengan menggunakan platform iklan kami.”
Sumber yang rapat dengan perkara itu mengesahkan laporan New York Times semalam yang Facebook mengambil langkah luar biasa untuk membuat satu aplikasi yang dikenali sebagai ‘Colorful Balloons’ dan dikeluarkan melalui sebuah syarikat tempatan tanpa petunjuk kepada penglibatan rangkaian sosial itu.
Colorful Balloons mempunyai ciri yang serupa dengan aplikasi Facebook Moments.
Facebook sudah lama berminat mencari jalan untuk memasuki tanah besar China, di mana rangkaian sosial itu diharamkan sejak 2009.
Google, YouTube, Instagram, dan Facebook adalah antara bintang Silicon Valley yang tidak dibenarkan beroperasi di talian internet China yang dikawal ketat.
Pengasas Facebook Mark Zuckerberg membuat lawatan berprofil tinggi ke China dan bertemu dengan pemimpin politik di sana, malah dia juga mempelajari bahasa Mandarin.
Colorful Balloons dikeluarkan awal tahun ini melalui syarikat China yang berasingan, menurut New York Times.
Facebook berminat untuk mempelajari bagaimana aplikasi boleh memenangi hati peminat di China, tanpa memerlukan nama syarikat terkemuka yang berkaitan dengannya.
Dengan adanya syarikat di China pengedaran aplikasi itu boleh menjadi lebih cekap disebabkan hubungan perniagaan tempatan dan kebiasaan dengan peraturan tempatan. – AFP, 12 Ogos, 2017.
Komen