Hakim Peru tangguh keputusan penjara Keiko Fujimori


Hakim memberikan tempoh 24 jam kepada pendakwa menyerahkan dokumen kepada pihak pasukan pembela Keiko Fujimori dan memutuskan pendengaran baru. – Gambar EPA, 22 Oktober, 2018.

MAHKAMAH Peru pada Ahad menunda tuntutan pihak pendakwa untuk meletakkan pemimpin pembangkang Keiko Fujimori dalam tahanan selama 36 bulan, yang beliau sifatkan konspirasi untuk “menguburkan” harapannya untuk menjadi presiden.

Pendakwa badan anti rasuah Jose Domingo Perez meminta mahkamah menahan Keiko dan 11 yang lain bagi tempoh yang panjang ketika pasukannya menyiasat pihak mana yang mendapat manfaat daripada jutaan dolar dalam kempen rasuah daripada syarikat pembinaan gergasi Brazil, Odebrecht.

Bagaimanapun, pendengaran pada Ahad ditangguhkan oleh Hakim Richard Concepcion Carhuancho selepas peguam pembela mengatakan pendakwaan gagal menyerahkan dokumen diminta, dan memerlukan lebih banyak masa untuk mewujudkan kes.

Hakim berkata beliau akan memberikan “24 jam kepada pihak pendakwa bagi mematuhi permintaan itu” dan kemudian memutuskan pendengaran baru.

Keiko, ketua pembangkang Parti Angkatan Popular, meninggalkan mahkamah sambil tersenyum dan melambai kepada jurugambar di samping suaminya, Mark Vito.

Hakim menolak permintaan peguamnya agar beliau menarik diri sehingga perkara itu dapat dipindahkan ke mahkamah lain.

Beliau adalah hakim yang sama pada awal bulan ini yang membenarkan permintaan Lopez menahan Fujimori dalam tahanan pencegahan selama 10 hari.
Keiko berkata pendakwa dan hakim bersekongkol menentangnya. Kedua-duanya mendapat perhatian di Peru kerana pelbagai pendakwaan anti korupsi terhadap ahli politik utama.

“Saya rasa ada konspirasi antara pendakwa Perez, yang mewakili Pejabat Pendakwa, dan Hakim Concepcion Carhuancho,” katanya kepada akhbar Peru21.

“Setiap minit, terdapat berita palsu, pembohongan mengenai parti dan orang saya.

“Mereka cuba menyingkirkan saya daripada politik, ‘menguburkan’ saya,” katanya.

Berusia 43 tahun, beliau adalah anak perempuan kepada bekas presiden Alberto Fujimori, Keiko semakin menjadi tumpuan ketika pendakwa menyiasat kes jutaan ringgit sumbangan kempen haram kepada beberapa bekas presiden.

Perlembagaan Peru membolehkan suspek ditahan tanpa perbicaraan sehingga 36 bulan dalam kes-kes yang kompleks seperti penyiasatan Odebrecht, yang melibatkan pengesanan jutaan dolar dalam pengubahan wang haram.

Ia juga memastikan suspek tidak boleh mengganggu bukti atau saksi dalam penyiasatan yang berterusan.

Sekiranya permohonan pendakwa diterima, ia akan menamatkan peluang presiden Fujimori pada 2021, selepas kalah pada 2011 dan 2016. – AFP, 22Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen