MENTERI Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir berkata pada Ahad bahawa kerajaan tidak tahu di mana mayat wartawan Jamal Khashoggi, walaupun mengakui pembunuhan dan menyebutnya sebagai “kesilapan besar”.
Bercakap dalam satu wawancara di Fox News, Jubeir berkata kepimpinan Arab Saudi pada mulanya percaya Khashoggi meninggalkan konsulatnya di Istanbul, tempat kali terakhir beliau dilihat pada 2 Oktober.
Tetapi selepas “laporan yang kami dapati dari Turki,” pihak berkuasa Arab Saudi memulakan siasatan, yang mendapati “beliau dibunuh di konsulat.”
“Kita tidak tahu, dari segi butiran. Kami tidak tahu di mana mayatnya,” kata Jubeir, sambil menambah pendakwa raya Arab Saudi sudah memerintahkan penahanan 18 individu, “langkah pertama dalam perjalanan yang panjang.”
Beliau menamakan pembunuhan itu sebagai “kesilapan besar” tetapi yakin hubungan Amerika Syarikat-Arab Saudi akan pulih.
“Semua individu yang terlibat, melakukannya di luar skop kuasa mereka. Terdapat kesilapan jelas yang dibuat, dan apa yang memburukkan lagi kesilapan itu adalah cubaan untuk menutupnya,” kata Jubeir.
“Ini tidak boleh diterima di mana-mana kerajaan, malangnya perkara ini berlaku. Kami mahu memastikan mereka yang bertanggungjawab dihukum, dan kami ingin memastikan prosedur dilaksanakan untuk mencegahnya daripada berlaku lagi.”
Jubeir menegaskan operasi itu tidak diarahkan oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman, walaupun laporan mengaitkan beberapa suspek dengan anggota ketua keselamatannya.
Kesilapan
“Ini adalah satu operasi yang menyalahi undang-undang, ini operasi di mana individu akhirnya bertindak di luar kuasa dan tanggungjawab mereka, mereka membuat kesilapan ketika membunuh Jamal Khashoggi di konsulat dan cuba menutupnya,” katanya.
Kejadian ini menerima kritikan AS termasuk beberapa pemimpin Parti Republik Presiden Donald Trump, tetapi Jubeir yakin hubungan AS-Saudi akan bertahan dalam menghadapi krisis.
“Hubungan strategik penting bagi kedua-dua negara,” katanya. “Saya percaya apabila siasatan selesai dan fakta didedahkan, orang tahu siapa yang bertanggungjawab dan melihat individu terbabit dihukum, dan hubungan akan pulih.”
Beliau menambah Raja Salman “bertekad untuk memantau siasatan, bertekad memastikan segala fakta, bertekad untuk memastikan individu terlibat dipertanggungjawabkan dan bertekad untuk menegakkan dasar dan prosedur di dalam perkhidmatan keselamatan bagi mencegah perlara seperti ini daripada berlaku lagi.” – AFP, 22Oktober, 2018.
Komen